
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata ruang kepada jenayah rasuah yang menyebabkan penyeludupan bahan bakar ke negara jiran sejak sekian lama mungkin dapat dicegah menerusi inisiatif kerajaan menyasarkan bantuan subsidi kepada golongan sasar.
Jelasnya, ini kerana agihan subsidi diesel dapat dipantau kepada kumpulan sasar seperti kenderaan pengangkutan darat membawa barang keperluan yang diberi kad fleet bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.
“Langkah ini dapat mengurangkan penyeludupan diesel subsidi,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Jais mengingatkan kerajaan pada masa sama perlu meningkatkan kecekapan pemantauan untuk berdepan sindiket penyeludupan termasuk di pintu sempadan antaranya dengan memasang mesin pengimbas.
“Penggunaan teknologi seperti mesin pengimbas di setiap jalan masuk dan keluar sempadan boleh menjadi satu langkah berkesan.
“Ini akan membolehkan pihak berkuasa mengesan dengan lebih cekap barang yang dibawa masuk dan keluar, membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan,” katanya yang meminta penyelarasan antara agensi kerajaan diperkemaskan lagi.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan merasionalkan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.
Katanya, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel terlalu murah.
Data rasmi menunjukkan harga pasaran diesel ialah RM3.43 seliter pada 24 Mac 2024. Bagaimanapun pengguna membayar RM2.15, manakala kerajaan menanggung baki RM1.28 melalui subsidi.
Selain penjimatan besar akan diperoleh kerajaan daripada pemansuhan subsidi, rasionalnya ialah dengan harga lebih tinggi ia akan menjadi kurang menguntungkan untuk mengambil risiko menyeludup komoditi itu merentasi sempadan.
Dianggarkan pada 2023, kerajaan membelanjakan kira-kira RM39 juta sehari hanya untuk subsidi diesel. Ia mencecah RM1.2 bilion sebulan atau RM14 bilion setahun.
Pakar ekonomi menyifatkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi sebagai langkah penjimatan tepat untuk mengalihkan fokus bagi memenuhi keperluan lain seperti pemberian tunai kepada mereka yang memerlukan.