Azmin dakwa undi PH lebih teruk merosot banding PN

Azmin dakwa undi PH lebih teruk merosot banding PN

Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PN Azmin Ali berkata gabungan itu tidak terkesan dengan penurunan undi biarpun gagal merampas kerusi berkenaan.

Azmin Ali berkata kedudukan PN masih kuat dan tidak terkesan berikutan hanya penurunan 628 undi.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) mendakwa walaupun Pakatan Harapan (PH) menang PRK DUN Kuala Kubu Baharu, jumlah undi diperoleh calonnya daripada DAP merosot.

Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PN, Azmin Ali, berkata gabungan itu tidak terkesan dengan penurunan undi biarpun gagal merampas kerusi berkenaan.

“Dahulu kita dapat 10,743 undi dan hari ini kita memperoleh 10,131 undi, sekali gus menyaksikan penurunan hanya 612 undi.

“Tetapi dengan keputusan malam ini, kedudukan kita masih kuat dan tidak terkesan berikutan hanya penurunan 612 undi,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama PN di Batang Kali, Hulu Selangor, menurut Berita Harian.

PH mengekalkan  kerusi Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 3,869 selepas calonnya Pang Sock Tao meraih 14,000 undi, manakala PN menerusi  Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi.

Calon bebas Nyau Ke Xin memperoleh 188 undi dan Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia mendapat 152 undi.

Warga emas sokong PN

Azmin berkata, peratusan keluar mengundi menunjukkan penurunan daripada 69% pada PRN lalu berbanding PRK kali ini 61%.

Katanya, bagaimanapun penurunan sokongan itu kecil berbanding penurunan peratusan keluar mengundi.

“Kalau kita tengok lokaliti mengikut saluran satu hingga tiga terdiri daripada pengundi lama, ia meningkat pada PRK kali ini, memihak kepada PN,” katanya.

Menurutnya, PRK ini memberi kelebihan kepada PN dengan berjaya menarik sokongan warga emas, hasil dasar dan program gabungan itu

“Maka mereka (saluran 1-3) memberi undi kepada PN dan ia menunjukkan terdapat peningkatan. Namun saluran empat hingga enam itu berlaku sedikit penurunan. Ia tidak beralih ke PH sebab mereka pun berlaku penurunan lebih besar daripada PN.

“Ini kerana faktor penurunan peratusan mengundi yang mungkin disebabkan faktor kerja, cuaca dan sebagainya kerana kadang-kadang anak muda memilih mengundi pada waktu petang. Tetapi ia tidak menjejaskan sokongan kepada PN,” katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi dalam kalangan Orang Asli, Azmin berkata undi golongan itu memihak kepada PH, namun ia hanya membabitkan 400 undi.

“(Undi) Orang Asli walaupun kita menang di pusat daerah mengundi (PDM) Pertak pada PRN lalu, di PRK PH menang, tetapi saya kira itu terlalu kecil kerana hanya 400 pengundi.

“Secara keseluruhan ia tidak menjejaskan prestasi PN kerana jumlah di PDM Pertak itu hanya 413,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan meneliti keputusan PRK ini secara terperinci dan mengambil langkah untuk meningkatkan lagi sokongan kepada parti pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.