Tahap ‘anxiety’ pekerja SME lebih tinggi ketika Covid-19, menurut kajian

Tahap ‘anxiety’ pekerja SME lebih tinggi ketika Covid-19, menurut kajian

Menurut laporan kajian itu pekerja sepenuh masa bimbang gaji mereka dipotong dan risiko dijangkiti penyakit tersebut.

Orang ramai dilarang makan di semua restoran dan kedai makan ketika perintah kawalan pergerakan pertama yang dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020.
PETALING JAYA:
Pekerja sepenuh masa di perusahaan kecil dan sederhana (SME) lebih mudah mengalami tekanan perasaan berbanding mereka yang tidak bekerja ketika pandemik Covid-19, menurut kajian terbaharu.

Secara purata, mereka 29 kali ganda kemungkinan menderita ‘anxiety’ berbanding mereka yang tidak mempunyai pekerjaan, kata Nithya Sukilan, pengarang laporan ‘Impak Covid-19 pada kesihatan mental pekerja perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia’, kepada FMT.

Sebaliknya, mereka yang tidak bekerja pada waktu itu dua kali ganda berasa lebih bimbang berbanding mereka yang bekerja secara separuh masa termasuk pekerja gig.

Nithya berkata ‘anxiety’ berpunca daripada rasa bimbang akibat risiko dijangkiti Covid-19 dan kehilangan sumber pendapatan.

Katanya, pekerja dengan gaji hari dan pekerja syarikat kecil yang dimiliki SME adalah mereka yang ‘benar-benar menderita’ ketika pandemik.

Pekerja gaji hari adalah mereka yang bekerja sepenuh masa tetapi dibayar mengikut jam atau hari bekerja.

Pekerja gig adalah mereka yang bekerja sementara atau secara fleksibel. Ini termasuk pekerja bebas.

Sebahagian pekerja gaji hari mungkin terlibat dalam pekerjaan gig tetapi tidak semua termasuk dalam kategori ini.

Nithya berkata pemilik SME atau pekerja sepenuh masa, mempunyai tahap kebimbangan yang tinggi kerana banyak perniagaan, seperti makanan, tidak boleh beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila orang ramai dilarang makan di restoran atau kedai kopi.

PKP pertama berkuatkuasa pada 18 Mac 2020 dan PKP kedua dikuatkuasakan pada 11 Jan 2021, tetapi ditarik balik kurang sebulan selepas itu.

Kata Nithya, walaupun SME dibenarkan menyambung semula operasi, pekerja tetap berasa bimbang untuk kembali bekerja kerana takut dijangkiti penyakit itu.

“Ketika itu, sekiranya kamu dijangkiti, kamu kena pergi ke pusat kuarantin,” katanya.

“Ini boleh menjejaskan pendapatan kamu dan menyebabkan rasa bimbang tentang kesihatan sendiri,” tambahnya.

Nithya berkata, walaupun SME mengambil pekerja sepenuh masa ketika pandemik, ramai dalam kalang syarikat itu tidak mempunyai kapasiti kewangan untuk mengekalkan pekerja sepenuh masa seperti syarikat-syarikat besar lain.

Pekerja di syarikat ini akan berdepan pemotongan gaji atau diminta bekerja dengan bayaran komisyen.

Nithya menjelaskan, pekerja separuh masa ini, mereka menerima hakikat bahawa ada hari di mana khidmat mereka tidak diperlukan atau tiada kerja dan ini bermakna tiada pendapatan pada waktu itu.

Sebaliknya, kata Nithya, pekerja sepenuh masa dan yang bekerja sendiri sentiasa merasakan mereka mempunyai pendapatan yang stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.