Pengundi Cina KKB mahu Adun baharu sambung khidmat cemerlang Lee

Pengundi Cina KKB mahu Adun baharu sambung khidmat cemerlang Lee

Penduduk harap wakil rakyat baharu akan dengar keluhan mereka dan urus sumber awam dengan berkesan.

kkb
Penduduk Kuala Kubu Baharu akan mengundi pada PRK Sabtu ini untuk memilih pengganti wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong, yang meninggal dunia akibat kanser pada 21 Mac.
HULU SELANGOR:
Pengundi Cina di Kuala Kubu Baharu mahu wakil rakyat dipilih nanti mengikut jejak langkah Lee Kee Hiong dengan memperjuangkan keperluan masyarakat.

Pekerja bengkel kereta, Yap Ket Hin, berkata sektor pelancongan di kawasan itu bertambah baik sepanjang tempoh perkhidmatan Lee sejak 2013 hingga 2024.

“Lee menjalankan tugas dengan baik sepanjang tiga penggal beliau menjadi wakil rakyat. Kini ada mural dan papan tanda yang cantik di tengah pekan,” katanya kepada FMT.

Yap merujuk kepada mural di dinding rumah kedai di sepanjang Jalan Mat Kilau, mempamerkan hutan rimbun dan sungai berliku-liku di sekitar pekan itu, menjadikannya lokasi percutian yang ideal bagi peminat pengembaraan luar.

Kerusi Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian Lee akibat kanser pada 21 Mac dan penduduk akan mengundi pada PRK Sabtu ini untuk memilih penggantinya.

Pakatan Harapan (PH) diwakili calon DAP Pang Sock Tao, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut.

Turut bertanding, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia dan calon bebas Nyau Ke Xin.

Pemilik kedai alat tulis, Simon Lee, 55, berkata beliau dapat lihat lebih ramai pelancong mengunjungi restoran dan kafe di pekan itu.

“Kedai-kedai makan ini dibuka sejak beberapa tahun ini. Jumlah kedai yang semakin banyak menunjukkan betapa bagusnya industri pelancongan di sini,” katanya.

Simon berkata, beliau terutamanya senang melihat jenama popular tempatan, termasuk Zus Coffee, Secret Recipe and Richiamo Coffee, membuka cawangan di kawasan itu.

Seorang lagi pengundi, Lim Keng Huat, 57, berharap Adun baharu nanti akan mendengar keluhan penduduk, menganjurkan ketelusan dan menguruskan sumber awam dengan lebih berkesan.

“Saya kini lebih cenderung (mengundi) PH kerana Adun sebelum ini berkhidmat dengan baik kepada masyarakat,” katanya.

Lebih banyak kerja perlu dilakukan

Sementara itu, pengundi Cina lain di Kuala Kubu Baharu percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.

Seorang pengundi dari Batang Kali hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, penduduk kampung sering berdepan masalah ketersambungan telefon mudah alih dan internet.

Beliau turut menyeru Adun baharu menangani isu pembangunan ekonomi kawasan itu, yang menurutnya boleh ditingkatkan dengan menambah baik dan lebih mempromosikan lokasi tarikan pelancong.

Chan Wai Shan, 22, berkata kekurangan peluang pekerjaan di kawasan itu menyebabkan graduan muda sepertinya terpaksa mencari prospek lebih baik di Lembah Klang.

“Sebuah pekan tanpa orang muda, lama-kelamaan akan jadi kurang membangun. Kami sayangkan pekan kami, tetapi tiada peluang di sini untuk kami cari rezeki bagi menampung kehidupan yang selesa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.