
Katanya, BJAK mesti secara rasmi memohon menjadi rakan strategic JPJ.
“Kita tidak menentang mengadakan perkongsian strategik dengan pihak ketiga atau sektor swasta.
“Jika mereka dapat yakinkan kita untuk menjadi rakan, maka kita tidak ada bantahan terhadap mereka,” katanya kepada pemberita dalam majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Castlefield.
Pada Isnin, JPJ berkata pihaknya mahupun Kementerian Pengangkutan tidak pernah memberi kelulusan kepada BJAK untuk menyediakan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan kepada orang ramai.
Dalam kenyataan, JPJ menjelaskan iklan dikeluarkan syarikat itu di media sosial dan laman sesawangnya juga adalah tidak benar dan mengelirukan.
JPJ juga memaklumkan ia menerima beberapa aduan daripada orang ramai apabila pembaharuan cukai dilakukan namun tempoh sah lakunya tidak dikemas kini.
Pihaknya juga menerima aduan berhubung dikenakan bayaran tambahan dikenakan BJAK bagi pembaharuan cukai jalan.
BJAK kemudian dalam kenyataan, berkata pihaknya mengakui isu dibangkit JPJ dan sedang aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa, sambil menyatakan perkhidmatan utamanya kekal bagi perbandingan dan pembaharuan insurans kenderaan.
Katanya, perkhidmatan pembaharuan cukai jalan kini ditawarkan kepada pelanggan tanpa sebarang caj, sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menjadikan pembaharuan lebih mudah dan berkesan dari segi kos bagi pelanggannya.
Dalam pada itu, Loke mempertahankan kenyataan dikeluarkan JPJ, dengan menyatakan tindakan itu perlu demi mengelak sebarang kekeliruan kaitan jabatan itu dengan BJAK.
Katanya, bagi platform untuk mengenakan bayaran bagi perkhidmatan pembaharuan cukai jalan, ia mesti mendapat pengesahan JPJ.
“Kempen mereka agresif kita risau orang ramai keliru… ini satu perkhidmatan (perlu) ada pengesahan JPJ. Kalau BJAK nak bekerjasama dengan JPJ, kena mohon rasmi,” katanya.