Masalah kewangan, lupa punca pemilik kereta mewah tak baharui cukai jalan

Masalah kewangan, lupa punca pemilik kereta mewah tak baharui cukai jalan

Pengarah kanan penguat kuasa JPJ, Kifli Ma Hassan berkata masih ramai pemilik kereta mewah gagal perbaharui cukai jalan.

Antara jenama kenderaan mewah disita JPJ ialah Aston Martin, Ferrari, Lamborghini, Audi, BMW dan Rolls-Royce. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebahagian pemilik kenderaan mewah yang gagal memperbaharui cukai jalan mendakwa mereka terlupa berbuat demikian manakala ada yang memberi alasan masalah kewangan.

Alasan itu dikemukakan susulan operasi penguatkuasaan di seluruh negara yang menyaksikan lebih 900 kenderaan mewah disita sejak 1 Julai lalu, menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah kanan penguat kuasa JPJ, Kifli Ma Hassan berkata walaupun ada peningkatan dalam pembaharuan cukai jalan oleh pemilik kenderaan mewah, ramai masih tidak menjelaskan tunggakan mereka, lapor Utusan Malaysia.

“Sehingga semalam, sebanyak 915 kenderaan mewah telah disita.

“Pemilik kenderaan mewah digesa segera memperbaharui cukai jalan. Mana-mana kenderaan yang dikesan berada di jalan awam akan dihentikan dan disita,” katanya.

Kifli berkata kebanyakan kenderaan yang disita bernilai lebih RM300,000 sebuah, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada pemilik benar-benar tidak mampu atau sekadar enggan membayar cukai jalan.

Antara kenderaan mewah yang disita termasuk Aston Martin, Ferrari dan Rolls-Royce.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli mendedahkan tunggakan cukai jalan tertinggi melibatkan sebuah Lamborghini Huracan disita baru-baru ini yang berjumlah RM35,760, diikuti sebuah Audi A8 dengan tunggakan RM21,710.

JPJ turut menyita sebuah Audi TT yang tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2021, selain mengesan sebuah BMW i7 yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.