
“Wallahualam. Tak mahu buat sebarang spekulasi.
“Ada masa sampai 12 Mei ini iaitu hari jadi saya,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 di sini hari ini.
Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang sepatutnya tamat 12 Mei pada tahun lalu dilanjutkan selama setahun.
Azam dilantik mengetuai SPRM pada 9 Mac 2020 susulan peletakan jawatan Latheefa Koya selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Pada 2021, Azam menjadi perhatian media susulan dakwaan berkait pemilikan saham. Beliau menyangkal sebarang dakwaan salah laku dan disoal oleh tiga jawatankuasa SPRM.
Menteri undang-undang ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, kemudian mengumumkan isu tersebut selesai selepas Suruhanjaya Sekuriti mendapati tidak ada kes terhadap Azam.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM tidak berhasrat menahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung siasatan pengisytiharan harta.
“Itu tidak lagi. Kita tidak berhasrat untuk tahan beliau,” katanya.
Sebelum ini Azam mendedahkan Mahathir antara individu berprofil tinggi disiasat berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anak beliau, Mirzan dan Mokhzani diberi notis untuk mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.