
Bekas perdana menteri itu berkata, dua syarikat utama berkenaan merupakan pembekal senjata besar kepada Israel untuk melakukan serangan dan pengeboman ke atas rakyat Palestin, sejak 7 Okt lalu.
Katanya, walaupun mengakui syarikat berkenaan pernah hadir pada anjuran terdahulu, namun keadaan kali ini amat luar biasa dan genosid Zionis terhadap Palestin begitu kejam dan tanpa perikemanusiaan.
“Membenar syarikat-syarikat sedemikian memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman rejim Tel Aviv. Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak, dan orang awam yang lain.
“Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan harus mengambil tindakan tegas dan mengarah syarikat-syarikat ini keluar dari Malaysia seberapa segera yang boleh,” katanya catatan di X.
Mahathir berkata, syarikat terbabit perlu tahu tiada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak menyokong atau bersubahat dengan Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
“Dan tindakan ini tidak terhad kepada dua syarikat tersebut. Jika ada syarikat-syarikat lain yang membekal senjata kepada regim Zionis masa kini, mereka juga perlu dinyah keluar dari Malaysia,” katanya.
Semalam, Sekretariat Solidariti Palestin turut menamakan Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI, dan Leonardo juga menggesa syarikat berkenaan dibatalkan penyertaan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024, dijadual hingga 9 Mei.
Beberapa syarikat tersebut pernah menyediakan peralatan ketenteraan kepada Malaysia.
Pada Februari, radar pengawasan jarak jauh dibangunkan Lockheed Martin dilaporkan dipasang di Malaysia Timur, manakala BAE dan Leonardo, juga mempunyai hubungan yang lama dengan Angkatan Tentera Malaysia.