
Menurutnya, kerajaan menuntut kos langsung dan tidak langsung susulan keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan itu.
Beliau berkata, Malaysia sudah membuat bayaran €126 juta (RM583 juta), iaitu 95% daripada nilai keseluruhan kontrak, sebelum lesen itu dibatalkan.
“Kami tuntut kos langsung dan tidak langsung. Kos langsung berjumlah €126 juta, iaitu jumlah yang telah kami bayar kepada mereka.
“Kita juga tuntut kos tak langsung membabitkan jumlah besar, seluruh tuntutan itu berjumlah kira-kira RM1 bilion,” katanya menurut Bernama selepas meninjau kemajuan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.
Menurut laman web syarikat pengeluar peluru berpandu Kongsberg Defence & Aerospace, ia memeterai kontrak perolehan NSM bernilai €124 juta (RM571.9 juta) dengan TLDM pada April 2018 bagi melengkapkan enam LCS baharu.
Minggu lalu, kerajaan Norway mengesahkan pembatalan lesen eksport bagi sistem NSM ke Malaysia susulan sekatan lebih ketat ke atas teknologi pertahanan sensitif mereka.
Kementerian Luar Negeri Norway dilaporkan berkata, pembatalan itu berkaitan peraturan kawalan eksport lebih ketat yang kini mengehadkan teknologi pertahanan canggih buatan Norway hanya kepada sekutu dan ‘rakan paling rapatnya’.
Susulan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Khamis lalu mengecam keputusan Norway menarik balik lesen eksport bagi NSM serta sistem pelancar berkaitan yang disifatkannya tidak boleh diterima.
Beliau berkata, Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak itu, yang merupakan instrumen serius tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya, sejak 2018.
Khaled berkata, isu pembatalan itu menimbulkan krisis kepercayaan terhadap komitmen antarabangsa negara dan menjadi iktibar kepada Malaysia serta negara sekutu Asean.
“Jadi, apabila komitmen ini boleh dibatalkan secara sepihak saja, maka keyakinan terhadap keseluruhan sistem akan mula terhakis. Pada peringkat kementerian, kita dah beritahu dan kita harap negara seperti Asean dan negara yang bukan menjadi sekutu rapat Norway, ambil pengalaman pengajaran yang dihadapi Malaysia supaya mereka tak beli dan berurusan dengan Norway.
“Kita pun dah maklum kepada Kementerian Pertahanan supaya apa-apa pembelian, sama ada peluru ke apa, tak payahlah kita beli daripada Norway dan kita kena berhati-hati apabila kita membuat perolehan dengan negara lain yang mungkin melakukan tindakan serupa terhadap negara kita.”