
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, empat pengeluaran khas semasa pandemik Covid-19 melibatkan dana melebihi RM145 bilion, menyebabkan 5.2 juta pencarum tidak mempunyai simpanan cukup ketika mencapai usia persaraan.
“Ini merupakan kesilapan ketika itu (benarkan pengeluaran khas), jadi kita tak boleh mengulanginya lagi,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas cadangan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin agar kerajaan membenarkan pencarum bergaji bawah RM5,000 membuat pengeluaran khas RM300 sebulan selama setahun menerusi Akaun 2, selain Akaun 3.
Setiausaha agung Bersatu berkata, pengeluaran khas itu mampu membantu pencarum terkesan sebagai tambahan menampung kos hidup, memandangkan pengeluaran Akaun 3 sahaja tidak memadai kerana jumlahnya terlalu kecil.
Menerusi penstrukturan semula akaun KWSP mulai 11 Mei ini, caruman bulanan akan dibahagi tiga iaitu 75% ke Akaun 1 (Akaun Persaraan), 15% ke Akaun 2 (Akaun Sejahtera) dan 10% ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel).
Simpanan dalam akaun fleksibel boleh dikeluarkan bila-bila masa bagi sebarang tujuan, pada pengeluaran minimum sebanyak RM50.
Ketika ini, 70% daripada caruman bulanan pencarum disalurkan ke Akaun 1, yang tidak boleh diakses sebelum persaraan. Baki 30% disalurkan ke Akaun 2, yang boleh diakses bagi tujuan pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan dan pengeluaran sebahagian pada usia 50 tahun.
Barjoyai bagaimanapun berpendapat, mekanisme pecahan caruman boleh diubah mengikut keperluan pencarum, termasuk meningkatkan jumlah potongan bagi Akaun 3 berbanding 10% yang ditetapkan.
“Kalau nak minta benarkan Akaun 2, apa yang perlu adalah tingkatkan jumlah untuk Akaun 3, tak perlu sentuh Akaun 2 kerana ia mempunyai matlamat berbeza,” katanya.
“Kita perlu lihat jangka panjang sebab matlamat kita ialah memastikan kesejahteraan rakyat, jadi kita tak mahu apa yang berlaku dulu di mana kita benarkan semua orang buat pengeluaran.”
Abu Sufian Abu Bakar, bekas pensyarah kewangan dan perbankan dari Universiti Utara Malaysia yang turut senada berkata pencarum seharusnya tidak memandang KWSP ‘sebagai mesin ATM’ ketika terdesak.
“Keluarkan duit KWSP hanya bila betul-betul memerlukan, katalah keluarkan RM300 sebulan macam cadangan pembangkang, kita pun dah jadi seronok jadi bergantung pula,” katanya.
Jelasnya, pencarum perlu memikirkan keperluan masa depan berbanding ‘keseronokan’ berbelanja hari ini termasuk tidak berupaya bekerja sebelum usia bersara.
“Kalaulah umur 47, 48 tahun kita jatuh sakit…masa inilah kita perlukan bantuan daripada dana ini (caruman KWSP). Jangan fikir seronok masa sekarang saja…di masa depan kita sengsara.”