Laporan interim nahas 2 helikopter TLDM siap minggu depan

Laporan interim nahas 2 helikopter TLDM siap minggu depan

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata laporan penuh siasatan nahas berkenaan dijangka akan mengambil masa 30 hari.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin menasihatkan semua pihak tidak membuat andaian dan spekulasi mengenai kejadian itu sehingga laporan lengkap siasatan dikeluarkan.
MELAKA:
Laporan interim nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lepas dijangka siap minggu depan, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Beliau berkata pihak jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan sedang menyiapkan laporan interim itu dan siasatannya akan mengambil masa dalam tempoh 30 hari.

” … kita tidak mahu membuat sebarang andaian dan spekulasi (mengenai kejadian nahas itu). Insya-Allah, kita akan tahu sebenar-benarnya (apabila laporan siap) dan selepas itu, siasatan akan mengambil masa 30 hari bekerja untuk kita tahu punca insiden,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan majlis beramah mesra bersama warga Kem Terendak di Kem Terendak, Sungai Udang, yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat Muhamad Hafizzuddeain Jantan.

Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri berbincang dengan mendalam mengenai nahas berkenaan dan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam tempoh sebulan.

Dalam kejadian 9.32 pagi, 23 April lalu, dua helikopter itu terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.