Konteks berbeza, Fahmi beritahu pihak sinis banding gaji naik 35% pada 2007

Konteks berbeza, Fahmi beritahu pihak sinis banding gaji naik 35% pada 2007

Jurucakap kerajaan berkata pada tahun tersebut kenaikan itu libat kakitangan awam gred paling rendah bergaji RM800.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil berkata pada 2007, kenaikan 35% merujuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dua Gred 1, namun ketika itu konteks ekonomi berbeza. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kenaikan gaji penjawat awam sehingga 35% pada 2007 perlu dilihat pada konteks berbeza, berdasarkan jumlah penambahan gaji dan keadaan ekonomi.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil, berkata ketika diumumkan pada tahun tersebut kenaikan itu hanya melibatkan kakitangan awam gred paling rendah.

Katanya, ketika itu tangga gaji bagi kumpulan pelaksana dua yang berada di Gred 1 sekitar RM800 sebulan sahaja.

“Bagi yang menyebarkan (kenaikan) 35% pada 2007 ada dua perkara sangat penting. Mereka hanya baca tajuk sahaja, 35% pada waktu itu merujuk penjawat awam dalam kumpulan pelaksana dua Gred 1.

“Waktu itu Gred 1, tahun 2007 pendapatan RM800 sebulan. Keadaan ekonomi jauh berbeza. Kalau nak diungkit, kena berlaku adil konteksnya berbeza,” katanya ketika ditemui pada perasmian pejabat Pakatan Harapan (PH) malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas kenaikan gaji lebih 13% penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim awal hari ini, tertinggi dalam sejarah.

Mengulas lanjut, pada 2007, Fahmi berkata kumpulan penjawat awam dalam kumpulan tertinggi hanya menerima kenaikan gaji sekitar 7.5%.

“Kalau nak dibandingkan itulah konteksnya, kenaikan 35% (waktu itu) hanya 1/4 daripada cerita penuh, angka disebut perdana menteri hari ini lebih tinggi daripada kali terakhir Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dikaji semula. Apa pun bermula 1 Dis penjawat awam dapat gaji lebih.

“Bila kita buat keputusan diumumkan perdana menteri, ini pertama dalam tempoh 12 tahun kajian semula dilakukan. Kajian semula perlu dilaksanakan secara berkala, ini dilaksanakan perdana menteri,” katanya.

Dalam rancangan ‘Soal Jawab Perdana Menteri’ malam tadi, Anwar menjelaskan kenaikan melebihi 13% itu melibatkan gaji pokok dan bukannya elaun, dan perincian mengenainya akan dibincang pada mesyuarat Jemaah Menteri sebelum diputuskan.

Katanya, kenaikan itu juga bertujuan menambah pendapatan pekerja gred rendah antara 25% hingga 30%.

Anwar berkata, di bawah SSPA yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding pada masa ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.