Kes lelaki Israel: Tindakan terhadap 10 individu diputus minggu ini

Kes lelaki Israel: Tindakan terhadap 10 individu diputus minggu ini

Mereka disiasat mengikut Seksyen 130 (1) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam jenayah terancang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Isa berkata polis telah akan bertemu Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan seterusnya.
KUALA LUMPUR:
Keputusan sama ada untuk mendakwa 10 individu yang dipercayai ada kaitan dengan lelaki Israel, Avitan Shalom mungkin akan dibuat minggu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Isa, berkata pihaknya akan bertemu dengan Jabatan Peguam Negara minggu ini untuk menentukan tindakan selanjutnya.

“Terdapat tiga kemungkinan, sama ada terdapat pertuduhan, bebas atau usir bagi suspek warga asing yang ditahan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Semua 10 individu itu disiasat mengikut Seksyen 130(1) Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam jenayah terancang.

Seramai 18 orang ditahan selepas dikaitkan dengan Avitan, yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar enam senjata api ke Malaysia dan memiliki 158 peluru.

Sepasang suami isteri tempatan yang didakwa membekalkan senjata kepada Avitan turut dituduh di mahkamah manakala lima lagi dibebaskan.

Baki 10 individu, termasuk tiga warga asing, ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Avitan mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Avitan memasuki negara itu menggunakan pasport Perancis, tetapi apabila disoal lebih lanjut oleh polis, dia menyerahkan pasport Israel miliknya.

Dia dilaporkan datang ke Malaysia untuk membunuh Eran Haya, yang dikatakan ketua kumpulan penjenayah seteru yang juga dalam tahanan polis Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.