
Provos dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Heriot-Watt Malaysia Mushtak Al-Atabi berkata, Vietnam menunjukkan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun lepas, dengan lebih 70% pelajarnya mencapai kecekapan dalam membaca, matematik dan sains.

Negara itu kini menduduki tempat kedua di rantau Asean selepas Singapura, walaupun markahnya merosot antara 2018 hingga 2022, trend yang diperhatikan di seluruh dunia, dikaitkan dengan wabak Covid-19.
Sebaliknya, Malaysia ketinggalan di belakang Vietnam, Singapura dan Brunei dalam markah keseluruhan penilaian itu, menurut Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
“Vietnam ialah sebuah negara yang lazimnya tidak kita kaitkan sebagai kaya atau penuh dengan sumber. Jadi jika Vietnam atau Indonesia boleh buat sesuatu (untuk meningkatkan markah Pisa), diharapkan ini dapat memberi ilham kepada kita untuk melakukan lebih baik,” katanya kepada FMT.
Dalam laporan Pisa tahun lepas, remaja berusia 15 tahun di Malaysia memperoleh 409 markah dalam matematik (turun daripada 440) dan 416 dalam sains (turun daripada 438 pada 2018). Bagi kecekapan membaca, rakyat Malaysia mendapat markah 388, turun daripada 415.
Angka itu bersamaan dengan hanya 1.2% pelajar Malaysia cemerlang dalam matematik; 0.5% dalam sains; dan hanya 42% pandai membaca.
Mushtak, yang juga pengerusi Majlis Naib Canselor Universiti Swasta berkata, Malaysia juga boleh belajar daripada Finland, yang telah mewujudkan sistem pendidikan yang berjaya, walaupun markah Pisanya merosot sejak 2006.
Tahap pencapaian Finland tidak selalunya tinggi, tetapi negara itu membuat perubahan yang relevan kepada mereka.
“Perkara paling penting di sini ialah keadaan ini dapat dipulihkan,” katanya.
Bukan masa tuding jari
Mushtak berkata, sekarang bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana pihak atas kemerosotan markah Pisa.
“Kita perlu duduk (bersama), merangka pelan yang teliti dan melaksanakannya. Kita perlu banyak bersabar dan sedar bahawa kita bukan hanya menangani masa depan belia kita, tetapi juga masa depan negara.”
Ahli akademik sebelum ini membidas kerajaan kerana tidak bertindak selepas markah Malaysia dalam Pisa merosot, dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memetik wabak Covid-19 sebagai antara faktor yang menyumbang kepada penurunan prestasi pelajar.
Mushtak menggesa para pendidik dan pemimpin negara untuk komited dengan pelan jangka panjang yang bertujuan memupuk “kemahiran berfikir aras tinggi” kanak-kanak sebaik sahaja mereka mendaftar di tadika.
Beliau berkata, ini akhirnya akan membawa kepada peningkatan dalam markah Pisa.
“Ramai orang berpendapat, markah Pisa yang rendah bermakna anak-anak kita tidak tahu matematik atau sains, dan tidak boleh membaca. Sebaliknya, Pisa memberikan tumpuan kepada apa yang kita panggil kemahiran berfikir aras tinggi, yang merujuk kepada aplikasi pengetahuan kepada situasi kehidupan sebenar.
“Adakah kita memupuk rakyat berpengetahuan yang dapat membezakan apa yang betul dan apa yang direka untuk menipu?”
Pisa bertujuan mengukur kesediaan remaja berumur 15 tahun yang menerima pendidikan formal untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat kontemporari.
Mushtak berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu menjadikan perguruan sebagai profesion yang dihormati dan bergaji tinggi sebelum menangani isu markah Pisa yang buruk.
“Kita perlu memastikan belia yang bersemangat untuk mengajar dan memiliki ‘kemahiran berfikir aras tinggi’ berminat menyertai profesion itu,” katanya.