Pemimpin MIC bahagian teruskan pujuk ahli ‘liat’ terima kerjasama

Pemimpin MIC bahagian teruskan pujuk ahli ‘liat’ terima kerjasama

Pemimpin MIC Hulu Selangor akan terus memujuk minoriti ahli yang masih belum boleh terima kerjasama dengan DAP.

MIC Hulu Selangor akan menggerakkan ahlinya untuk menyokong calon kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu. (Gambar Bernama)
HULU SELANGOR:
Pemimpin MIC Hulu Selangor akan terus memujuk ahli parti yang masih “liat” menerima kerjasama dengan DAP, ketika kerajaan perpaduan tekad pertahankan DUN Kuala Kubu Baharu yang akan memilih wakil rakyat baharu 11 Mei ini.

Ketua MIC Hulu Selangor, K Balasundaram, berkata golongan tersebut merupakan minoriti dalam kalangan ahli yang menerima kerjasama itu.

“Saya selalu pesan kepada ahli MIC kita kena terima hakikat politik sekarang perlu kerjasama dengan semua pihak untuk kebaikan masyarakat India,” katanya kepada FMT.

Balasundaram berkata pihak berusaha memobilisasikan sebahagian besar daripada 2,500 ahli MIC untuk pilihan raya kali ini.

“Hanya baki kurang 20% lagi yang tidak boleh menerima kerjasama dengan DAP termasuk membantu calon dalam PRN, jadi kita sedang memujuk dan memahamkan mereka,” katanya.

Balasundaram menjelaskan kesukaran menerima DAP itu kesan perseteruan yang terlalu lama antara kedua-dua parti.

Namun beliau menyeru akar umbi MIC berkenaan supaya merenung kembali sebarang niat untuk memboikot.

“Kalau kita boikot PRK Kuala Kubu Baharu ini adakah kita dapat membantu meningkatkan taraf
hidup orang India sebab kerajaan negeri tak akan berubah, kerajaan pusat tak akan berubah kalau pilihan raya memihak kepada pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Hulu Selangor, Mohd Isa Abu Kassim mengakui satu tugas sukar untuk memujuk ahli partinya dan orang Melayu menerima DAP.

“Kita akan turun beri penerangan kepada akar umbi dan orang Melayu. Itu kerja kita. Kita kena kerja keras. Kita tahu itu satu cabaran,” katanya kepada FMT.

Isa berkata penerangan harus dilakukan dengan menggembleng jenteri negeri.

“Dengan berkat kerjasama semua jentera kita, kita akan memberi penerangan secukupnya. Dua minggu kempen ini kita akan dibantu jentera Umno seluruh Selangor untuk beri penerangan,” katanya.

Semalam Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, berkata gabungan itu
menyokong calon DAP yang mewakili kerajaan perpaduan, bagi membalas bantuan parti itu pilihan raya sebelum ini.

Presiden MIC, SA Vigneswaran, meminta jentera parti berkempen untuk memenangkan kerajaan perpaduan, antara lain selepas menerima panggilan daripada perdana menteri yang menjanjikan penyelesaian kepada masalah masyarakat India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.