Bukan rahsia PN ajak BN bentuk kerajaan baharu, kata Shahidan

Bukan rahsia PN ajak BN bentuk kerajaan baharu, kata Shahidan

Ahli Parlimen Arau nafi ada pertemuan bersemuka dengan Zahid Hamidi sebaliknya seruan tukar kerajaan dibangkit secara umum.

Ahli Parlimen Arau nafi ada pertemuan bersemuka dengan Zahid Hamidi sebaliknya seruan tukar kerajaan dibangkit secara umum.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim nafi dakwaan kononnya pernah mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi untuk membentuk kerajaan baharu.

Katanya, beliau bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN) lain sebaliknya sentiasa mengajak BN bersama membentuk kerajaan baharu atas semangat penyatuan ummah.

Katanya, tindakan itu bukan lagi rahsia memandangkan ia pernah beberapa kali dibangkitkan secara umum, termasuk dalam siri pertemuan di Dewan Rakyat.

“Cuma saya nak tahu macam mana ada dakwaan kata saya adakan perjumpaan khusus (bersama Zahid) tentang PN nak suruh Umno keluar (daripada kerajaan perpaduan) itu secara terbuka, nak sembunyi apa? Semua orang sebut.

“Biar saya semak dulu (dakwaan bertemu Zahid) sebab benda ini serius, tetapi dalam ucapan mengajak Umno sertai kami (PN) memang tak berhenti kami bercakap, orang PAS dalam ucapan mereka pun ada ajak atas semangat Bumiputera, Melayu, dan Islam kita bersatu.”

Katanya pada sidang media di Parlimen ketika mengulas dakwaan beliau antara individu dikatakan memujuk BN keluar kerajaan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, beliau tidak perlu menjadi dalang memujuk BN keluar dari kerajaan kerana ada pemimpin dalam kerajaan hari ini yang “lebih dalang” kerana bekerjasama dengan DAP.

“Saya tak perlu jadi dalang atau penyamun tarbus, kalau saya nak sebut saya sebut terbuka, kalau saya nak cadang tukar kerajaan, saya cakap terus tukar kerajaan, yang dalang adalah mereka, orang yang kerjasama dengan DAP itu dalang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary, berkata tidak betul jika ada pihak cuba menuduh PN membuat tawaran kepada BN keluar kerajaan hanya kerana pembangkang tidak mempunyai dana.

“Kalau Arau dikatakan tawar (BN) tarik balik sokongan kepada kerajaan perpaduan itu tak betul, apa yang kita (pembangkang) ada untuk tawarkan, kita pembangkang sudahlah peruntukan tak ada, kita nak tawar apa untuk mereka,” katanya.

Sebelum ini, Zahid mendedahkan wujudnya usaha memujuk BN meninggalkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Zahid juga mendedahkan terdapat Ahli Parlimen pembangkang bertemu beliau dengan cadangan membentuk jajaran baharu kerajaan perpaduan dengan syarat mereka diberi empat jawatan menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.