
“Kami terlibat dan bergantung kepada sokongan, kerjasama dan pelaburan dari Barat seperti AS dan Eropah, pada masa sama mengekalkan hubungan dua hala yang mantap dengan China, Korea (Selatan) dan Jepun.
“Ini terutama dengan China memandangkan terdapat pelaburan dan minat semakin meningkat,” katanya pada sesi pleno pembukaan mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF): Visi Baharu Pembangunan Global.
Secara kumulatif, AS di kedudukan pertama dari segi jumlah pelaburan di Malaysia, manakala China menunjukkan peningkatan antara pelabur utama.
Anwar berkata, pendirian Malaysia adalah jelas untuk tidak membuat sebarang keputusan yang dilihat provokatif antara satu dengan lain.
“Kami mengalu-alukan pelaburan berdasarkan ketetapan kami.”
Menteri kewangan itu berkata, bagi sesebuah ekonomi sedang pesat membangun yang kecil, tindakan pengimbangan bukanlah sesuatu yang mudah.
“Saya berpandangan setakat ini kami telah berjaya.
“Kami perlu mengemudi dengan bijak dan bernasib baik memandangkan terdapat konsensus Asean mengenai perkara ini walaupun tidak sepenuhnya kerana kekuatan berbeza, tetapi sekurang-kurangnya dalam mekanisme Asean, terdapat keadaan seperti ini untuk kami mengekalkan (pendirian) berkecuali kami.”