RM100 ‘tak besar’ tapi membantu, kata penerima SARA

RM100 ‘tak besar’ tapi membantu, kata penerima SARA

Minah Senawi, 63, sangat menghargai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterima untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Minah Senawi memanfaatkan bantuan SARA dengan membeli barangan membuat kuih.
KUALA LUMPUR:
Mungkin RM100 sebulan bukan nilai yang besar bagi kebanyakan orang, tetapi ia begitu bermakna buat Minah Senawi, 63, yang bergantung hidup dengan hasil jualan kuih dan kerepek yang tidak menentu.

Minah seringkali resah mengenangkan keterbatasan kewangan untuk membolehkannya membuat pusingan modal.

Mujur permohonan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Minah diluluskan dan selama 12 bulan dia lega kerana tahu, bebanan ditanggungnya sedikit berkurangan.

Minah Senawi.

“Alhamdulillah. Boleh beli barang, dapat bantu juga. Kita bukan beli barang bukan-bukan, tapi beli tepung, minyak, gula dan lain-lain untuk buat kuih jualan,” katanya ketika ditemui FMT.

SARA adalah program lanjutan kepada inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bawah Belanjawan 2024, bertujuan memenuhi keperluan barangan asas seperti makanan, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan sekolah.

Minah berkata, dia bernasib baik kerana tidak tercicir daripada mendaftar eKasih bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Bantuan ini ringankan beban. Kalau tak, mak cik tak terima (bantuan) langsung. Hari raya lepas, modal (nak buat kuih jualan) pun tak berapa ada.

“Pendapatan mak cik tak menentu, sebulan dalam RM400-RM500 sebab kuih, kerepek bukan selalu orang tempah,” katanya yang kehilangan suami pada 2020.

Minah enggan menyusahkan lima anaknya yang sudah berumah tangga dan masing-masing mempunyai komitmen tersendiri.

“Anak-anak ada beri (duit belanja) sikit-sikit. Tapi anak pun sampai tak boleh buat apa (kewangan sendiri tidak mencukupi). Mereka bagi seorang RM100, (kita) ambil sahaja,” katanya yang kini tinggal bersama tiga anak belum berkahwin.

Bantuan SARA yang disasarkan untuk meringankan beban lebih ramai individu senasib dengan Minah, dilaksanakan secara berperingkat bermula 22 Jan dan dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta setahun.

Penerima SARA akan dikredit RM100 sebulan untuk setiap isi rumah dan warga emas tiada pasangan, manakala RM50 sebulan untuk golongan bujang.

Antara barangan dibeli Minah setiap kali bantuan SARA dikreditkan.

Sementara di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan, manakala RM300 untuk golongan bujang.

Pensyarah Ekonomi UiTM Melaka, Mohamad Idham Md Razak, berkata bantuan SARA memberikan rasa selamat dan maruah kepada penerima.

“Mereka berasa sentiasa mendapat sokongan daripada kerajaan. Walaupun jumlah itu mungkin kelihatan kecil secara individu, akan tetapi kesan terkumpul sepanjang 12 bulan boleh memberikan kelegaan kewangan yang amat diperlukan kepada isi rumah yang bergelut,” katanya.

Katanya, program SARA yang berterusan boleh membantu mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, mengurangkan jurang pendapatan dan memupuk perpaduan sosial selain boleh menyegarkan pertumbuhan ekonomi negara.

Setakat Januari lalu, lebih 500 rangkaian rakan runcit seperti pasar raya serta kedai mengambil bahagian dalam program SARA dan angka itu dijangka terus meningkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.