
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin; pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, berkata pembayaran dibuat kepada Good Star Ltd antara 2009 dan 2011.
Wan Azwan: Ada Najib arah pengurusan 1MDB, termasuk CEP ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, hantar wang dua kali?
Aida: Tidak.
Wan Azwan: Tetapi pihak pengurusan bertanggungjawab kerana membenarkan USD1.03 bilion diremit kepada Good Star?
Aida: Ya, berdasarkan dokumen-dokumen.
Wan Azwan: Adakah kamu bersetuju bahawa Najib tidak mengarahkan mana-mana orang dalam pengurusan tertinggi 1MDB untuk memindahkan USD1.03 bilion kepada Good Star?
Aida: Ya.
Menurut keterangan yang diberikan Shahrol dan Aida, wang itu dihantar ke satu akaun bank Good Star, yang tiada hubungan dengan usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd.
Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukanya mendakwa 1MDB menyertai suatu perjanjian usahasama dengan Petro Saudi International Ltd, yang mana 1MDB dikehendaki menyumbang USD1 bilion, bersamaan 40% daripada ekuiti dalam projek itu.
Bagaimanapun, hanya USD300 juta dibayar untuk usahasama itu, manakala baki USD700 juta dilencongkan ke Good Star pada September 2009.
Pada September 2010, 1MDB menghantar USD500 juta ke akaun usahasama itu, manakala pada Mei dan Oktober 2011, syarikat itu meremit USD330 juta kepada Good Star.
Pihak pendakwaan berkata apa yang dikatakan usahasama minyak dan gas itu suatu penipuan kerana USD1.83 tidak digunakan seperti yang dimaksudkan pada asalnya.
Bagaimanapun, hari ini, Aida berkata jejak wang mendedahkan bahawa USD10 juta daripada USD500 juta itu masuk ke akaun bank Najib.
Saksi pendakwaan ke-49 itu mendakwa Najib bersekongkol dengan Low untuk mencuri jutaan ringgit daripada 1MDB.
Pembelaan Najib adalah beliau percaya semua wang yang dimasukkan ke akaunnya adalah derma daripada keluarga diraja Saudi.
Pembelaan lain adalah Low, lembaga pengarah 1MDB, dan pengurusan kanan berpakat untuk menjarah dana berdaulat itu.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.