
Menterinya, Nancy Shukri berkata, bantuan di bawah Skim Pemberian Ehsan Kepada Keluarga Mangsa itu diharap dapat meringankan beban keluarga mangsa.
“Saya akan menghulurkan sendiri bantuan kepada keluarga mangsa di Sarawak, manakala timbalan saya (Noraini Ahmad) akan menyantuni keluarga mangsa di Sabah dan Lumut,” katanya selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Mangsa Tragedi Nahas Helikopter di sini.
Kira-kira 200 warga kerja kementerian menyertai bacaan Yasin dipimpin Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam KPWKM, Muhammad Zaid Jumali.
Nancy berkata, KPWKM juga akan menyantuni keluarga mangsa menggunakan pendekatan melalui bimbingan kaunseling oleh kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam memberi sokongan serta rujukan bantuan disediakan agensi di bawah KPWKM.
Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa, termasuk anak mangsa masih bersekolah.
“Kementerian sentiasa komited membantu mereka yang memerlukan, termasuk waris keluarga mangsa mungkin hilang tempat bergantung bagi meneruskan kehidupan.
“Saya dan seluruh warga kerja KPWKM berdukacita serta mendoakan roh mangsa korban ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan soleh.”
Tragedi pagi semalam yang membabitkan Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan Fennec di Pangkalan TLDM Lumut mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya, termasuk tiga wanita.