Boleh jejas ekonomi, Ahli Parlimen gesa tolak cadangan larang kedai makan 24 jam

Boleh jejas ekonomi, Ahli Parlimen gesa tolak cadangan larang kedai makan 24 jam

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata premis dibuka 24 jam menyediakan peluang kerja dan jana pendapatan.

Kementerian Kesihatan dilaporkan memperhalusi cadangan CAP supaya kedai makan dilarang beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menolak cadangan dari sebuah persatuan pengguna yang mahu kedai makan dilarang beroperasi 24 jam.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, cadangan itu yang sedang diperhalusi Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak perlu dan boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Kedai makan 24 jam memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana keuntungan menerusi jualan makanan dan pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Menghalang operasi itu akan menyebabkan banyak kehilangan pekerjaan dan menurunkan aktiviti ekonomi.”

Beliau juga berkata, kedai makan seperti itu menawarkan kemudahan dan akses kepada mereka yang mempunyai jadual berbeza seperti pekerja syif malam dan pelancong yang lewat tiba di negara ini.

Terdahulu, FMT melaporkan KKM akan memperhalusi cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kedai makan dilarang beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.

Dzulkefly berkata pihaknya perlu mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi memastikan isu dapat dikaji secara menyeluruh, dengan syor penyelesaian yang mempunyai hala tuju jelas.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader menggesa lesen operasi 24 jam diberikan kepada kedai makan dimansuhkan kerana kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Mohideen berkata pihaknya sekian lama menyeru larangan kedai makan beroperasi 24 jam dengan alasan akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat.

Katanya, penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40% daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dengan menyifatkan gesaan itu hanya sesuai dijalankan mengikut keperluan, lokasi serta gaya hidup masyarakat bagi memenuhi keperluan semua pihak.

Lim berkata, cadangan itu juga akan mengurangkan interaksi sosial dan aktiviti rekreasi sekali gus memberi kesan negatif kepada hubungan komuniti dan kesihatan mental individu.

“Kedai lewat malam menawarkan lokasi sosial penting di mana rakan-rakan dan keluarga boleh bertemu selepas waktu kerja atau pada hujung minggu untuk menikmati makanan dan bertanya khabar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.