Rakyat nilai kerja kami, pemimpin DAP tepis dakwaan Chua

Rakyat nilai kerja kami, pemimpin DAP tepis dakwaan Chua

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid berkata pengundi menilai wakil rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan dan keikhlasan menyelesaikan masalah.

Syerleena Abdul Rashid dan Chong Zhemin
Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid dan Chong Zhemin (Kampar) tepis dakwaan bekas presiden MCA Chua Soi Lek pemimpin parti itu mula ‘besar kepala’ sebaliknya berkata pengundi menilai berdasarkan kerja mereka.
PETALING JAYA:
Dua Ahli Parlimen DAP menepis dakwaan bekas presiden MCA Chua Soi Lek bahawa pemimpin parti itu kini mula ‘besar kepala’ susulan dominasi sokongan masyarakat Cina.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berkata beliau menghormati pandangan Chua namun percaya politik hari ini tidak lagi boleh dibina atas sentimen siapa lebih dominan atau ‘besar kepala’.

Katanya, pengundi menilai wakil rakyat berdasarkan rekod perkhidmatan dan keikhlasan menyelesaikan masalah di lapangan tanpa mengira warna kulit.

“Sebagai Ahli Parlimen Melayu di kawasan majoriti Cina, saya melihat sendiri pengundi menilai berdasarkan kerja, kehadiran dan keikhlasan.

“Mereka mahu wakil rakyat yang turun padang dan membawa suara rakyat tanpa mengira kaum,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, fokus kerajaan perpaduan seharusnya dipacu oleh integriti dan dasar yang baik, bukan dibayangi ketakutan terhadap dominasi mana-mana parti.

“Saya tidak melihat politik sebagai pertandingan untuk ‘memiliki’ sokongan sesuatu kaum. Fokus saya ialah memastikan semua rakyat di Bukit Bendera rasa didengari dan dibela,” katanya.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, pula berkata pemimpin DAP tetap setia kepada pendekatan mesra rakyat dan berorientasikan perkhidmatan sebagai teras perjuangan parti tanpa mengira kaum atau latar belakang pengundi.

Beliau sebaliknya mendakwa, MCA gagal berfungsi dengan berkesan sebagai rakan sekutu dalam kerajaan perpaduan apabila lebih gemar menyerang pentadbiran sedia ada.

“Ia lebih banyak mengambil pendekatan menyerang serta mengkritik kerajaan sehingga dilihat lebih bersifat pembangkang daripada pembangkang sendiri.

“Rakyat sudah muak dengan retorik politik MCA. Pengundi khususnya masyarakat Cina wajar terus menyokong DAP dan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kestabilan dan mengelakkan negara kembali berdepan krisis Parlimen tergantung seperti 2020,” katanya.

Dalam audio siar Keluar Sekejap baru-baru ini, Chua menggesa masyarakat Cina menjadi ‘pengundi strategik’ bagi mengelakkan dominasi mutlak DAP yang didakwanya boleh membawa kepada sikap bongkak dalam kalangan pemimpin parti itu.

Chua mencadangkan pengundi mengekalkan sokongan kepada DAP di kawasan majoriti Cina yang tegar, namun beralih kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan campuran bagi mengimbangi kekuatan politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.