
1MDB membuat permohonan untuk memindahkan kes saman sivilnya terhadap defendan ke mahkamah lain, di mana satu lagi tuntutan berkaitan 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak sedang dibicarakan di hadapan Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad.
Peguam Riza, Farhan Shafee dan Genevieve Vanniasingham, berkata keputusan hari ini dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Menurut peguam itu, permohonan ditolak atas alasan bidang kuasa.
“Keputusan ini bermakna perbicaraan ke atas Riza akan diteruskan bawah pengurusan Raja Ahmad Mohzanuddin, dengan prosiding dijadualkan bermula pada Oktober,” kata mereka dalam kenyataan.
1MDB diwakili peguam Rabindra S Nathan dan Lim Jun Rui.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan 16 Okt hingga 4 Nov 2024 untuk mendengar tuntutan 1MDB terhadap Riza dan syarikat produksinya dalam usaha mendapatkan semula kira-kira USD250 juta (RM1.1 bilion) daripada mereka.
Riza adalah anak tiri Najib.
Saman itu dikemukakan oleh 1MDB dan anak syarikatnya terhadap Riza dan syarikat produksinya, termasuk Red Granite.
Riza dan syarikat produksinya didakwa menerima dan menyalahgunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi mereka, termasuk membiayai penerbitan filem dan membeli hartanah.
1MDB juga menegaskan bahawa Riza, sebagai pemilik syarikat tahu wang itu disalahgunakan.
Dalam pembelaannya, Riza, yang menghasilkan filem popular “Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo DiCaprio, mendakwa dana itu adalah pinjaman daripada keluarga diraja Saudi atau International Petroleum Investment Company dan bukan daripada 1MDB.
Dia juga berkata, adalah sukar bagi penerbit filem yang tidak dikenali untuk mendapatkan pinjaman daripada bank, yang memaksanya untuk mendapatkan dana daripada individu dan syarikat.