
Pegawai penyiasat SPRM, Nur Aida Arifin, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib tidak memaklumkan maklumat itu secara sukarela apabila seorang pegawai merekodkan kenyataan beramarannya di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM.
Seorang pegawai ditugaskan untuk mengambil keterangan Najib di ibu pejabat SPRM pada 19 dan 20 Sept 2018, sebelum beliau didakwa.
Aida, saksi pendakwaan ke-49, mendedahkan perkara itu ketika disoal balas oleh peguam bela utama, Shafee Abdullah.
Shafee bertanya kepada Aida mengapa SPRM tidak merekodkan kenyataan daripada menteri luar negeri ketika itu, Anifah Aman; bekas menteri hal ehwal agama Islam, Jamil Khir Baharom; dan bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Al-Saggaf, yang dikatakan mengiringi Najib untuk bertemu Raja Abdullah.
Aida menjawab isu itu tidak timbul ketika itu.
“Najib juga tidak menyebut perkara ini. Hanya semasa perbicaraan SRC (di peringkat pembelaan) barulah isu ini timbul,” katanya sambil menambah pihak pendakwaan tidak beri sebarang arahan untuk mendapatkan kenyataan daripada ketiga-tiga mereka.
Shafee kemudian bertanya kepada Aida mengapa pegawai itu tidak meminta Najib menjelaskan secara terperinci pertemuan dengan Raja Abdullah, yang diadakan pada 11 Jan 2010.
“Najib bebas untuk menambah sebarang butiran seperti yang dia mahu kerana ia kenyataan pembelaannya, tetapi dia tidak berbuat demikian,” katanya.
Dalam perbicaraan rasuah SRC International, didedahkan bahawa Raja Abdullah menawarkan bantuan kewangan untuk membantu Najib memenangi PRU 2013, semasa mesyuarat tidak rasmi pada 11 Jan 2010 di istana di Riyadh.
Anifah, Jamil, dan Syed Omar memberi keterangan selepas Najib diperintahkan membela diri oleh Hakim Nazlan Ghazali.
Dalam kes SRC, pembelaan Najib ialah beliau percaya wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah derma daripada raja itu.
Raja Abdulllah meninggal dunia pada 2015.
Syed Omar beri keterangan bahawa beliau difahamkan, Raja Abdullah menawarkan bantuan dalam bentuk dana yang akan dihantar untuk digunakan oleh Najib pada PRU 2013.
Keterangan menunjukkan bahawa pada 2011, Najib menerima hampir USD100 juta daripada Putera Turki bin Abdullah Al Saud dan Kementerian Kewangan di Riyadh; dan pada 2012, beliau memperoleh USD270 juta lagi daripada Putera Faisal Turki Al Saud dan Blackstone Asia Real Estate Partners.
Pada 2013, beliau dikatakan menerima USD681 juta tetapi memulangkan USD620 juta selepas PRU tahun itu. Najib dijangka memperoleh 50 juta pound daripada keluarga diraja Saudi tetapi hanya menerima 10 juta pound pada 2014.
Aida bersetuju dengan Shafee bahawa Najib menunjukkan beliau tidak selesa dengan jumlah wang yang banyak dalam akaunnya.
“Najib mendedahkan dia mahu mendapatkan wang untuk pembiayaan politik dan tidak mahu menggunakan cara lain yang diguna pakai oleh perdana menteri terdahulu,” katanya.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.