
Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, susulan pertemuan dengan Presiden MCA Wee Ka Siong, beliau yakin perselisihan faham antara MCA dan PH dapat diselesaikan lebih-lebih lagi dua parti itu sebahagian kerajaan perpaduan.
“Saya akan ikhtiarkan cari jalan terbaik, (harap isu itu) sementara sahaja saya dah jumpa Wee Ka Siong dan saya memahami situasi beliau hadapi ketika kenyataan itu dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada sambutan Aidilfitri Umno Hulu Selangor di MRSM Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu.
Zahid berkata, Umno berpegang kepada prinsip menghormati kerusi telah dimenangi parti penyandang, dan akan mendukung mana-mana calon atas nama kerajaan perpaduan.
“Saya harapkan itu sementara sahaja dan jika kenyataan itu keluar kerana kecil hati oleh kerana kenyataan dikeluarkan dalam parti komponen lain saya harap perkara ini dapat diselesaikan bagi menjernihkan kekeruhan jika ada.
“Kita harus harmoni politik kerana kita mahu sama ada peringkat negeri atau pusat perkara ini hendaklah kita selesaikan, ini akan memudahkan perdana menteri selaku pengerusi kerajaan perpaduan cari titik persamaan,” katanya.
Sebelum ini, MCA dan MIC dilaporkan tidak akan turun membantu kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang dijadual pada 11 Mei. Bagaimanapun, awal hari ini Anwar Ibrahim selaku pengerusi PH, berkata MIC mengesahkan akan membantu kempen.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan selepas penyandang tiga penggal dari PH, Lee Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac disebabkan barah.
Sementara itu, Zahid berkata, isu Tengku Zafrul Aziz yang meletak jawatan bendahari Umno Selangor selesai dengan menteri pelaburan, perdagangan dan industri diberi tugas baharu “di luar kerangka parti” bagi penyusunan strategi politik.
“Saya akan pantau prestasi beliau dalam tugas baharu, saya yakin beliau boleh lakukan. Inilah politik matang kita perlukan,” katanya sambil tidak memberikan butiran lanjut jawatan dan bidang tugas Zafrul itu.