Wanita, budak 2 tahun maut motosikal bergesel

Wanita, budak 2 tahun maut motosikal bergesel

Penunggang berusia 23 tahun dan kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Batu Caves menghala ke Selayang, kata polis.
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Batu Caves, Gombak, semalam.

Penunggang motosikal berusia 23 tahun dan kanak-kanak lelaki itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang pemboncengnya berusia 29 tahun, ibu kanak-kanak tersebut, cedera dalam kejadian pada 8.13 malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Gombak Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Batu Caves menghala ke Selayang.

“Motosikal mangsa disyaki bergesel dengan sebuah kenderaan lain. (Namun) jenis dan nombor pendaftaran kenderaan itu tidak pasti,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut, tambahnya.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian yang berlaku di KM10.2, Jalan Batu Caves itu diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Amira Abu Hassan di talian 0196026596.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.