Kerajaan setuju pertimbang peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang

Kerajaan setuju pertimbang peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang

Fadillah Yusof berkata draf MoU akan dirangka untuk rundingan dengan pembangkang.

Fadillah Yusof berkata Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju pertimbang peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Putrajaya bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, dengan satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka untuk rundingan seterusnya, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Dalam satu kenyataan media, Fadillah berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Seri Perdana, Putrajaya, semalam.

“Secara dasar bersetuju untuk mempertimbang menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Ke arah itu satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, Fadillah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang disertai Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin bersama Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee bagi membincangkan isu peruntukan wakil rakyat.

FMT pada 6 Apr lalu melaporkan Hamzah meminta kerajaan mengemukakan cadangan rasmi berhubung peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang iaitu kira-kira RM3.8 juta setahun.

Beliau berkata, pendekatan itu digunakan semasa kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengikat memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada September 2021.

Ia menetapkan beberapa syarat untuk membolehkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerima peruntukan pembangunan sama.

Tahun lalu, PN tidak meneruskan rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang selepas Takiyuddin mendakwa Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu.

Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan jaminan diminta kerajaan itu.

Isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang menjadi antara alasan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Mereka terdiri daripada Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.