
Penjelasan itu dibuat susulan kritikan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim yang mendakwa suruhanjaya itu gagal melindungi kepentingan penumpang.
Zaid menyelar Mavcom minggu lepas, yang memetik insiden baru-baru ini di mana dia dicaj RM50 kerana membetulkan kesilapan kecil pada namanya semasa mendaftar masuk untuk menaiki pesawat.
Menerusi hantaran di X, Zaid berkata dia telah dicaj atas kesilapan dalam butiran tempahannya walaupun memberikan butiran pengenalan yang mencukupi.
Dalam satu kenyataan kepada FMT, Mavcom berkata setiap syarikat penerbangan mempunyai dasar sendiri untuk pertukaran nama berdasarkan perubahan kecil atau besar yang mungkin mempunyai implikasi terhadap maklumat dan identiti penumpang.
“Ini adalah amalan komersial global yang bertujuan untuk memastikan pengalaman perjalanan yang lancar,” kata jurucakap Mavcom.
“Secara amnya, (kedua-dua) syarikat penerbangan Malaysia dan asing mengenakan bayaran untuk pertukaran nama. Bagaimanapun, sesetengah syarikat penerbangan mungkin membenarkan kesilapan ejaan kecil dibetulkan secara percuma.”
Jurucakap itu berkata syarikat penerbangan bertanggungjawab memastikan ketepatan butiran penumpang seperti nama, pengenalan, keperluan visa, sekatan perjalanan dan maklumat lain yang berkaitan sebelum menaiki pesawat.
Mavcom berkata syarikat penerbangan bertanggungjawab untuk mengekalkan tahap ketelusan yang tinggi dalam perkhidmatan mereka untuk memastikan penumpang boleh membuat keputusan termaklum.
Katanya, syarikat penerbangan mesti memaklumkan secara jelas mengenai bayaran berkaitan perubahan nama kepada penumpang dalam terma dan syarat mereka.
“Mavcom menggalakkan pengguna membaca terma dan syarat dengan teliti sebelum membeli tiket penerbangan. Ia juga penting bagi pengguna untuk memberikan maklumat yang tepat dan terkini kepada syarikat penerbangan itu bagi mengelakkan komplikasi menaiki pesawat atau perjalanan,” kata jurucakap itu.
Dalam hantarannya di X, Zaid juga berkata syarikat penerbangan mengambil masa sehingga 90 hari untuk bayaran balik jika mereka membatalkan penerbangan, sambil menyifatkannya “sangat tidak adil” kepada penumpang.
Sebagai maklum balas, jurucakap Mavcom berkata di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), penumpang berhak membuat tuntutan balik kos penuh tiket dalam tempoh 30 hari, termasuk cukai dan yuran, untuk mana-mana bahagian perjalanan yang tidak digunakan.
Sebagai alternatif, penumpang mempunyai hak menukar destinasi terakhir mereka menerusi perkhidmatan ditawarkan tanpa dikenakan caj tambahan.
“Kegagalan syarikat penerbangan mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti. Kami menggesa pengguna menghubungi kami dengan aduan khusus mereka supaya kami boleh menyiasat dan memberikan bantuan secara menyeluruh,” katanya.
Jurucakap itu berkata Mavcom komited terhadap semakan berterusan MACPC bagi memastikan ia kekal sebagai cara yang relevan dan berkesan untuk melindungi pengguna dalam industri penerbangan.