Suspek kes tembak KLIA direman 7 hari

Suspek kes tembak KLIA direman 7 hari

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Suspek berusia 38 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan untuk mendapatkan perintah reman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang ditahan di Kota Bharu, Kelantan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.

Terdahulu, suspek berusia 38 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada jam 8.30 pagi tadi, lapor Berita Harian.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rais Imran Hamid bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan suspek yang terbabit dalam kejadian tembakan itu ditahan kira-kira 3 petang, di satu lokasi di Kota Bharu.

Dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi Isnin lalu, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Pengawal peribadi berkenaan sedang dirawat di sebuah hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.