Hukuman penjara 20 tahun lelaki lakukan serangan seksual kekal

Hukuman penjara 20 tahun lelaki lakukan serangan seksual kekal

Mahkamah Rayuan juga kekal 27 sebatan terhadap lelaki berusia 43 tahun itu.

Mahkamah Rayuan kekal 27 sebatan terhadap tertuduh walaupun undang-undang menyebut pesalah boleh dikenakan 24 sebatan maksimum.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman 20 tahun penjara ke atas bekas “transporter” yang disabit 10 pertuduhan serangan seksual terhadap dua beradik perempuan, selama dua hari pada 2020.

Tiga panel hakim dipengerusikan Hadhariah Syed Ismail, juga mengekalkan 27 sebatan dikenakan Mahkamah Tinggi ke atas lelaki berusia 43 tahun itu.

“Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berleluasa,” kata hakim itu apabila menolak rayuan perayu ke atas hukumannya.

Lelaki berkenaan menjalani hukuman pada 20 Jun 2020.

Hadhariah berkata, panel turut enggan mengurangkan hukuman sebatan diputuskan Mahkamah Tinggi walaupun undang-undang menyebut pesalah boleh dikenakan 24 sebatan maksimum.

“Kami serahkan kepada budi bicara pihak berkuasa penjara,” katanya.

Turut bersidang, Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Lelaki tersebut melakukan kesalahan terhadap dua beradik itu, yang ketika kejadian masing-masing berusia 14 dan 11 tahun di parkir kereta, di sebuah kedai serbaneka berdekatan sekolah agama di Kampar, Perak, antara 16 dan 17 Jun 2020.

Dia dituduh bawah Seksyen 14 dan 15 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, bagi pelbagai perlakuan termasuk menyentuh badan kanak-kanak berkenaan dan memaksa mereka melakukan sentuhan fizikal tanpa persetubuhan.

Dia mengaku salah ke atas tujuh pendakwaan terhadap si kakak dan dijatuhi hukuman 10 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen bagi setiap pertuduhan, yang dijalani secara serentak. Lelaki itu juga diarah menjalani 18 sebatan.

Selain itu, tertuduh dikenakan 10 tahun penjara susulan sabitan terhadap tiga pertuduhan dilakukan ke atas si adik, juga diperintah hukuman dijalani serentak. Dia turut diarah menjalani sembilan sebatan.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen mengarahkan hukuman 10 tahun penjara kedua dikuatkuasakan selepas menjalani hukuman pertama.

Awal hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee menggesa hakim bersidang tidak mengganggu hukuman dikenakan sebagai penghalang terhadap tertuduh, mahupun bakal pesalah.

“Kepentingan awam mesti dijadikan duluan dan mahkamah mesti menghantar mesej tegas,” katanya.

Peguam Zaidan Daud dalam mitigasi memohon pengurangan hukuman penjara memandangkan anak guamnya merupakan pesalah pertama.

Datuk perogol

Dalam kes berasingan, panel hakim sama bersidang juga mengekalkan hukuman 20 tahun penjara terhadap seorang datuk, kerana merogol cucunya berusia tujuh tahun, di sebuah rumah di Kajang, Selangor, enam tahun lalu.

“Tiada merit untuk merayu, dan hukuman bermula 5 Ogos 2021,” kata Hadhariah.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen menjatuhi lelaki itu yang kini berusia 71 tahun, 18 tahun penjara selepas dia mengaku salah, namun atas rayuan pihak pendakwa, Mahkamah Tinggi menaikkan hukuman kepada 20 tahun.

Panel hakim, bagaimanapun menolak permohonan pendakwaan supaya mahkamah menggunakan kuasa budi bicaranya di bawah Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman untuk memerintahkan hukuman sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha manakala peguam Afiq Audy mewakili tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.