Malaysia kecam Israel serang petugas bantuan kemanusiaan di Rafah

Malaysia kecam Israel serang petugas bantuan kemanusiaan di Rafah

Wisma Putra berkata, serangan kejam itu mencederakan beberapa sukarelawan serta petugas konvoi hantar bantuan kemanusiaan, termasuk individu mengendalikan bantuan dari Malaysia melalui Ops Ihsan.

Wisma Putra berkata, serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha menyampaikan bantuan sama sekali tidak boleh diterima. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Malaysia dengan tegas mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam tentera rejim Israel di Rafah pada Jumaat lalu, yang secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa sukarelawan serta petugas dalam konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan, termasuk individu mengendalikan bantuan dari Malaysia melalui Ops Ihsan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan semalam berkata, serangan terhadap petugas bantuan kemanusiaan, sukarelawan dan individu tidak bersenjata yang menjalankan usaha menyampaikan bantuan sama sekali tidak boleh diterima.

“Tindakan kejam oleh Israel ini mencerminkan kekejaman melampaui sebarang pemahaman atau justifikasi. Ia tidak lagi mencukupi untuk mengutuk tindakan kezaliman ini secara berlapik,” kata Wisma Putra.

Menurutnya, tiba masanya masyarakat antarabangsa bersatu dan menuntut Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dan bertanggungjawab ke atas jenayah dilakukan mereka.

“Di mana Israel sebelum ini menuntut tindakan ini adalah langkah diperlukan untuk pertahanan diri, tindakan-tindakannya sejak Oktober tahun lepas jelas menunjukkan sebaliknya: Israel sangat jelas adalah pihak yang menyerang dan mengganas.

“Di saat bantuan sangat diperlukan untuk sampai kepada rakyat Palestin, rejim Israel berterusan mengenakan sekatan dan halangan untuk menyeksa golongan tua, rakyat kesakitan, wanita dan kanak-kanak.”

Wisma Putra berkata, ini kali kedua operasi Ops Ihsan terganggu dan nyawa sukarelawan terancam tanpa sebab.

“Serangan pertama pada 14 Mac 2024 meragut nyawa lapan orang Palestin dan mencederakan lebih 20 yang lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.