Korban serangan pasar Nigeria meningkat 50

Korban serangan pasar Nigeria meningkat 50

Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu pasar Kasuwan Daji di Kampung Demo lalu melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk.

Presiden Nigeria Bola Tinubu mengecam keras serangan dan mengarahkan pasukan keselamatan memburu dalang di sebalik insiden itu. (Gambar EPA Images)
ABUJA:
Jumlah kematian akibat serangan kumpulan bersenjata di sebuah pasar di negeri Niger, Nigeria, meningkat kepada 50, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan tempatan.

Dalam kejadian pada Sabtu itu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu pasar Kasuwan Daji di Kampung Demo, sebelum melepaskan tembakan rambang ke arah penduduk.

Selain membunuh mangsa, kumpulan itu turut melarikan sebilangan besar penduduk dan merampas bekalan makanan.

Satu majlis pengebumian beramai-ramai telah diadakan bagi mangsa terkorban, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Presiden Bola Tinubu mengecam keras serangan berkenaan dan mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu serta menahan dalang di sebalik insiden itu.

“Mereka sedang mencabar ketegasan negara dan mesti menerima kesan sepenuhnya atas tindakan jenayah ini,” katanya.

Tinubu turut mengarahkan pihak berkuasa untuk segera menyelamatkan semua individu yang dilarikan dalam serangan itu.

Negeri Niger menyaksikan serangan pengganas yang berulang kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya di komuniti luar bandar yang terdedah kepada ancaman kumpulan bersenjata yang beroperasi dari kawasan hutan.

Pada 21 Nov tahun lalu, sekumpulan lelaki bersenjata melarikan 315 individu termasuk 303 pelajar dan 12 guru dari sekolah rendah dan menengah Katolik persendirian St Mary di Papiri, kawasan kerajaan tempatan Agwara.

Walaupun, kira-kira 50 pelajar berjaya melarikan diri pada hari pertama dan bersatu semula dengan keluarga mereka, kerajaan persekutuan kemudiannya berjaya membebaskan 100 lain.

Pada 21 Dis, Menteri Penerangan Mohammed Idris mengumumkan semua baki pelajar dilarikan telah dibebaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.