
Projek Sama berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh memilih membentangkan kertas hijau dengan mengemukakan cadangan pindaan Perlembagaan untuk maklum balas awam dan perbincangan awam, atau kertas putih bagi kerajaan menyokong cadangan itu “dengan fakta dan statistik”.
Katanya, pilihan lain ialah menyerahkan RUU itu kepada jawatankuasa Parlimen untuk meneliti cadangan pindaan Perlembagaan, seperti undang-undang antilompat parti dan RUU tembakau generasi penamat (GEG) yang dibatalkan.
“Projek Sama menggesa pengerusi tiga jawatankuasa Parlimen, iaitu Jonathan Yasin (keselamatan), William Leong (hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi) serta Yeo Bee Yin (wanita, kanak-kanak dan pembangunan masyarakat) memulakan inkuiri ke atas RUU itu, dengan atau tanpa rujukan menteri.
“Syarat rujukan jawatankuasa itu membolehkan mereka meneliti mana-mana RUU berkaitan di bawah tanggungjawab KDN atau yang mempunyai kesan ke atas Perlembagaan Persekutuan, hak asasi manusia dan kebajikan masyarakat.
“Jika dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen, semua pihak berkepentingan boleh dipanggil untuk membentangkan hujah mereka dan orang ramai boleh dimaklumkan secara maksimum,” katanya dalam kenyataan.
RUU itu dibantah kumpulan masyarakat sivil dan beberapa penyokong kerajaan, khasnya berhubung pindaan kerakyatan untuk anak terdampar, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan dan individu rentan.
KDN kemudian memutuskan untuk menggugurkan pindaan itu, tetapi NGO berkata, kelemahan ketara masih wujud kerana undang-undang kerakyatan baharu tidak akan terpakai secara retroaktif.
RUU yang dinanti-nantikan itu, bagi memberikan kerakyatan automatik kepada anak dilahirkan di negara lain oleh wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing, dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat baru-baru ini, tetapi tidak dibahaskan Ahli Parlimen.
Pembangkang menyifatkan penangguhan secara tiba-tiba sidang Dewan Rakyat sebelum pindaan itu dibahaskan tidak bertanggungjawab.
Tetapi, Projek Sama memuji tindakan kerajaan tidak tergesa-gesa mengundi RUU itu dengan berkata, ia menunjukkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memahami lebih banyak masa diperlukan untuk membahas pindaan itu.
“Kami menggesa Jemaah Menteri mengambil peluang penangguhan RUU itu untuk membentangkan kertas hijau, kertas putih atau merujuk RUU itu kepada jawatankuasa Parlimen, bagi menunjukkan penghormatan kerajaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan komitmennya dalam penggubalan undang-undang serta dasar secara inklusif dan serius.”