Kerajaan pusat akan gubal undang-undang dagangan karbon ikut Sarawak, kata premier

Kerajaan pusat akan gubal undang-undang dagangan karbon ikut Sarawak, kata premier

Abang Johari Openg berkata, Putrajaya akan menghantar pegawainya untuk mengkaji undang-undang Sarawak.

PM Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara minggu lepas, yang turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Douglas Uggah Embas (barisan belakang, tiga dari kiri). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk menggubal undang-undang perdagangan karbon berdasarkan undang-undang digubal Sarawak mengenai perkara itu, kata Abang Johari Openg.

Premier Sarawak itu berkata, timbalannya, Douglas Uggah Embas, dimaklumkan mengenai perkara itu pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara minggu lepas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Abang Johari berkata, Malaysia mempunyai peluang besar untuk melibatkan diri dalam perdagangan karbon apabila syarikat perkapalan global beralih daripada menggunakan bahan api fosil kepada metanol hijau.

Katanya, Sarawak beruntung kerana menjadi antara peneraju dalam bidang ini, dengan undang-undang perdagangan karbon yang diperlukan telah pun digubal.

“Bagaimanapun, saya telah memaklumkan kepada perdana menteri bahawa kita tidak boleh melakukannya bersendirian sebagai sebuah negeri. Ia mesti menjadi dasar negara. Dan saya beritahu beliau, kerajaan persekutuan mesti memperkenalkan undang-undang sedemikian segera.

“Dan saya dimaklumkan baru-baru ini – (oleh) Uggah (yang) mewakili saya dalam mesyuarat – bahawa perdana menteri akan memperkenalkan undang-undang (persekutuan), yang akan digubal berdasarkan undang-undang kita (Sarawak).

“Jadi (kerajaan persekutuan) akan hantar pegawai untuk mengkaji dan menerapkan undang-undang (Sarawak) dalam undang-undang persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Kuching.

Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggubal undang-undang berkaitan perdagangan karbon pada November lepas, setelah Rang Undang-undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 diluluskan oleh DUN.

RUU itu bertujuan meringankan kesan perubahan iklim dan membuka jalan bagi Sarawak memperoleh hasil menerusi perdagangan atau penjualan kredit karbon.

Abang Johari berkata, undang-undang karbon Sarawak adalah menyeluruh dan berdasarkan cadangan Bank Dunia.

Tambahnya, undang-undang persekutuan diperlukan kerana perdagangan karbon melibatkan perjanjian antara kerajaan, yang tidak dapat disertai Sarawak sebagai negeri.

Premier Sarawak itu menegaskan bahawa Singapura dan Indonesia telah pun menandatangani surat niat bagi usaha memerangkap dan menyimpan karbon rentas sempadan pada 2022.

“Jadi, untuk Malaysia mengambil langkah ke hadapan, mesti ada parameter undang-undang ini untuk kita terlibat dalam perdagangan karbon antarabangsa serta mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.