Undi18 seru kerajaan pilih pakar berorientasi reformasi jadi pengerusi SPR

Undi18 seru kerajaan pilih pakar berorientasi reformasi jadi pengerusi SPR

Undi18 berkata pemilihan pengerusi SPR akan datang tiba pada waktu yang kritikal bagi negara.

Undi18 menyeru pengerusi SPR akan datang memenuhi tiga kriteria, antaranya pengalaman luas dalam reformasi pilihan raya.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengundi Muda (Undi18) menyeru kerajaan memilih seorang pakar pilihan raya dengan pengalaman luas dalam reformasi pilihan raya untuk menjadi pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan datang.

Perkara itu antara tiga kriteria yang dinyatakan Undi18, yang turut mendesak pemilihan individu yang komited melaksanakan penambahbaikan sistem pilihan raya; serta berkecuali atau bebas dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

Undi18 berkata adalah penting bagi kerajaan untuk membuat pemilihan pengerusi seterusnya dengan penuh pertimbangan, kerana peluang itu tiba pada waktu yang kritikal bagi negara, iaitu proses persempadangan semula pilihan raya di Sarawak yang sedang berlangsung, Sabah pada 2025, dan Semenanjung pada 2026.

“Persempadanan semula ini sangat penting, kerana ini akan menjadi kajian sempadan pilihan raya pertama sejak pelaksanaan RUU Undi 18 – yang menyaksikan penambahan lebih 8 juta pengundi baharu ke dalam senarai daftar pemilih.

“Adalah mustahak bagi kerajaan untuk memastikan bahawa proses persempadanan semula dilaksanakan secara bebas dan terbuka tanpa pengaruh atau campur tangan daripada kerajaan atau ahli politik,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Abdul Ghani Salleh bakal bersara pada Mei.

Undi18 juga berkata SPR juga harus segerakan reformasi yang dikatakan “lama tertunda”, termasuk perubahan pada sistem pengundian pos, pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan pelaksanaan audit perbelanjaan kempen bagi calon dan parti politik.

“Dengan mempertimbangkan ini, kerajaan harus tidak hanya melantik seorang Pengerusi SPR yang bebas dan berorientasi reformasi, tetapi juga harus berkomitmen untuk tidak mengganggu tugas SPR agar lembaga ini dapat berfungsi secara independen dan adil demi maslahat semua rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Undi18 menegaskan pentingnya sebuah jawatankuasa tetap Parlimen dibentuk untuk meneliti pelantikan pengerusi SPR.

“Kerajaan harus memastikan seorang pengerusi SPR yang berwibawa untuk mempertahankan sistem demokrasi – tanpa mengira siapa yang memegang tampuk kuasa pada masa depan,” katanya.

Mengingatkan reformasi pilihan raya amat penting bagi demokrasi, Undi18 berkata “akan menjadi pengkhianatan terhadap amanah rakyat” sekiranya kerajaan gagal memanfaatkan peluang ini dan mengabaikan tanggungjawab untuk melantik seorang pengerusi SPR yang kompeten, bebas, dan berorientasi reformasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.