
Zamri Vinoth Kalimuthu juga menuntut Ahli Parlimen Jelutong itu menarik balik kenyataan terhadapnya.
Menurut Zamri, beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya pada 2021 selepas beberapa individu mendakwa beliau menghina Lord Shiva dalam video yang dimuat naik di Facebook dan YouTube.
Zamri berkata, berikutan laporan polis tersebut, beliau direman empat hari untuk siasatan.
“Hasil siasatan memutuskan tiada tindakan lanjut oleh pihak berkuasa (terhadap saya), serta tiada sebarang pendakwaan dibuat ke atas saya,” katanya pada sidang media.
Bagaimanapun, katanya, keputusan tiada tindakan itu cuba dicabar oleh beberapa pihak, tetapi secara konsisten ditolak oleh mahkamah.
Ini termasuk semakan kehakiman oleh individu tertentu terhadap keputusan peguam negara, serta tindakan undang-undang sivil, katanya.
Menurut Zamri, Rayer mengulangi perkara itu baru-baru ini di Dewan Rakyat apabila bertanya kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail jika tindakan akan diambil terhadapnya kerana menghina penganut Hindu.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk meneruskan dengan pemfailan saman, serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, yang mengulangi tuduhan dan fitnah terhadap saya,” katanya.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, surat tuntutan itu telah dihantar ke firma guaman Rayer pagi ini.
“Kami memberi beliau tempoh 14 hari untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu,” katanya.