Pemandu, kelindan lori didenda RM8,000 miliki karkas babi

Pemandu, kelindan lori didenda RM8,000 miliki karkas babi

S Devaraju Naidu, 38, dan P P Raviendran, 45, dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Majistret Setiu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

S Devaraju Naidu, 38, dan P P Raviendran, 45, dituduh menyeludup 228 keratan karkas babi seberat 9,120 kilogram bernilai RM246,240. (Gambar Reuters)
SETIU:
Seorang pemandu dan kelindan lori masing-masing didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 228 keratan karkas babi seberat 9,120 kilogram bernilai RM246,240 pada November tahun lepas.

Majistret Ainis Abu Hassan Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas S Devaraju Naidu, 38, dan P P Raviendran, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua lelaki terbabit menjalani hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Wakil majikan tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki 228 keratan karkas babi disyaki diseludup dari Thailand yang dijumpai di dalam sebuah lori kontena sejuk beku tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu di tepi jalan di Kampung Pak Kancil di sini pada 3.30 pagi, 9 Nov tahun lepas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Kaedah 5 (3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.