Cakna isu sensitif agama, kaum, Jakim beri peringatan tegas

Cakna isu sensitif agama, kaum, Jakim beri peringatan tegas

Jakim memberikan peringatan tegas kepada Vern's Holding, serta semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan polis menyiasat isu logo mirip kalimah Allah di tapak kasut keluaran Vern’s dengan lebih lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan peringatan tegas kepada Vern’s Holding Sdn Bhd, serta semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport di negara ini, agar cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu sensitif membabitkan agama dan kaum.

Ketua Pengarah Jakim Hakimah Mohd Yusoff mengeluarkan peringatan sedemikian susulan pertemuan jabatan itu dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Ng Chuan Hoo di Ibu Pejabat Jakim berhubung isu logo mirip kalimah Allah di tapak kasut keluarannya.

Beliau berkata, pertemuan itu diadakan bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenai isu itu serta langkah-langkah pihak syarikat untuk mengelak kejadian sama berulang.

“Pihak Vern’s Holding Sdn Bhd telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf,” katanya dalam kenyataan.

“Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.”

Hakimah juga berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan polis menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut. Sekiranya wujud elemen disengajakan dalam reka cipta logo kasut tersebut, katanya, maka tindakan sewajarnya perlu diambil.

“Jakim juga menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes ini sudahpun dibuka kertas siasatan oleh polis,” katanya.

Pada masa sama, Hakimah menasihatkan semua pihak agar tidak membangkitkan isu menyentuh 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan serta menjejaskan keharmonian di negara ini.

Semalam, apabila isu ini menjadi tular, Vern’s Holding Sdn Bhd membuat permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa logo tersebut diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

Pihak pengurusan syarikat bagaimanapun mengakui kekurangan pada rekaan logo tersebut boleh mengakibatkan ia disalah tafsir.

Katanya, syarikat itu tidak pernah sama sekali berniat menghasilkan reka bentuk logo untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama mahupun kepercayaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.