
Ketua Pengarah Sirajuddin Suhaimee berkata pihak dari negeri lain mengutip zakat di negeri berbeza adalah suatu kesalahan.
Katanya, isu itu dibincangkan dan telah diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, serta dibentangkan di Majlis Raja-Raja dan mendapat perkenan.
“Sekarang di peringkat negeri untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak dari negeri yang lain mengutip zakat di negeri mereka,” katanya, lapor Bernama.
“Hanya amil yang bertauliah bagi negeri tersebut sahaja yang layak dan bertanggungjawab diberi kuasa untuk mengutip zakat, sama ada zakat fitrah ataupun zakat harta dan sebagainya di negeri berkenaan.”
Sementara itu, Jakim menyeru masyarakat memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat, yang tular kebelakangan ini.
Sirajuddin berkata Jakim mengambil maklum laporan yang tersebar sejak beberapa hari lepas, serta menegaskan majlis agama Islam negeri-negeri tidak terlibat dalam isu berkenaan.
“Sebarang kesimpulan perlu dibuat berdasarkan hasil siasatan rasmi,” katanya.