MBI Selangor nafi terlibat projek Bernam Maritime, Bernam Shipyard

MBI Selangor nafi terlibat projek Bernam Maritime, Bernam Shipyard

Ia memaklumkan tidak pernah memberikan sebarang kelulusan, kebenaran, persetujuan atau izin untuk penggunaan nama, logo, identiti korporat atau bahan penjenamaannya.

MBI LOGO
MBI Selangor menegaskan ia berhak mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu bagi melindungi identiti korporat, reputasi serta kepentingan perundangannya.
SHAH ALAM:
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menegaskan tidak terlibat sama sekali dalam penganjuran, pengurusan, pemilikan, promosi atau operasi projek serta majlis pelancaran Bernam Maritime Industrial Park, oleh Bernam Shipyard Holdings Sdn Bhd seperti yang diedarkan kepada umum.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, MBI Selangor memaklumkan pihaknya juga tidak pernah memberikan sebarang kelulusan, kebenaran, persetujuan atau izin untuk penggunaan nama, logo, identiti korporat atau bahan penjenamaan MBI Selangor berkaitan aktiviti tersebut.

Badan itu menegaskan bahawa projek, entiti dan majlis pelancaran tersebut tidak mempunyai sebarang hubungan, sokongan, kaitan mahupun representasi daripada MBI Selangor dalam apa jua kapasiti.

“MBI Selangor telah menjalankan semakan awal dengan pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan berdasarkan maklumat yang tersedia pada masa ini, tiada sebarang pengesahan rasmi mengaitkan MBI Selangor dan MDSB dengan projek atau majlis pelancaran tersebut.

“Oleh yang demikian, sebarang representasi, kenyataan, penerbitan, bahan promosi atau gambaran yang menunjukkan bahawa projek atau majlis pelancaran tersebut mempunyai hubungan, sokongan, pengendorsan atau kaitan dengan MBI Selangor adalah tidak tepat, mengelirukan dan tidak mendapat kebenaran,” menurut kenyataan itu.

Justeru itu, MBI Selangor menggesa semua pihak yang terlibat menghentikan serta-merta penggunaan nama, logo, penjenamaan atau sebarang bentuk representasi yang mencadangkan hubungan dengan MBI Selangor tanpa kebenaran bertulis yang sewajarnya.

Menurut kenyataan itu, MBI Selangor berhak mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu bagi melindungi identiti korporat, reputasi serta kepentingan perundangannya.

“MBI Selangor memandang serius penggunaan tanpa kebenaran nama, logo dan elemen penjenamaan MBI Selangor dalam bahan promosi dan publisiti yang berkaitan dengan majlis dan projek tersebut.

“Penggunaan tanpa kebenaran ini berpotensi menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan pihak berkepentingan, pelabur, agensi kerajaan, rakan perniagaan serta orang awam,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, orang awam, pihak berkepentingan dan pihak berkaitan dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada pengumuman dan komunikasi rasmi yang dikeluarkan melalui saluran rasmi MBI Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.