1,145 pasang kasut dirampas dari cawangan Vern’s

1,145 pasang kasut dirampas dari cawangan Vern’s

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kasut itu dirampas dari cawangan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata tiada tangkapan dibuat kerana polis masih bekerjasama dengan Jakim untuk mendapatkan butiran lanjut.
KUALA LUMPUR:
Pihak berkuasa merampas 1,145 pasang kasut dari premis perniagaan Vern’s yang mana rekaannya dilihat mengandungi logo mirip kalimah Allah

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kasut itu dirampas dari cawangannya di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana kita masih bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk mendapatkan butiran lanjut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam, Vern’s Holding Sdn Bhd berkata reka bentuk logo pada tapak kasut bertumit tinggi yang dijualnya boleh disalah tafsir.

Ia memohon maaf atas perkara itu sambil berkata syarikat terbabit tidak berniat mereka bentuk logo bertujuan memperkecilkan atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, Shalom Avitan, lelaki Israel yang ditahan di Kuala Lumpur bersama enam pistol dan 200 peluru pada bulan lalu, dijangka didakwa di mahkamah pada minggu ini.

Tambahnya, pasangan warga tempatan yang disyaki menjual senjata kepada Shalim mungkin akan didakwa di mahkamah Klang hari ini.

Pada minggu lalu, Razarudin ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana memiliki senjata api secara haram dan berdepan hukuman mati jika didapati bersalah.

“Kita masih menyiasat motif lelaki Israel itu memiliki enam pistol, yang kita tahun diseludup dari negara jiran.

“Mungkin warga Israel ini akan didakwa minggu ini. Mungkin selepas cuti Hari Raya,” katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian serangan bom petrol di tiga cawangan KK Mart di Bidor, Perak; Kuantan, Pahang dan di Kuching, Sarawak.

Katanya, rakaman CCTV “tidak banyak membantu” dan polis bergantung pada maklumat daripada orang awam dan sumber risikan lain untuk menyelesaikan kes itu.

Serangan itu susulan kontroversi stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di sebuah kedai KK Mart.

Syarikat itu membuat permohonan maaf rasmi, bagaimanapun, pengasas dan seorang pengarah syarikat didakwa di mahkamah atas tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.