Vern’s mohon maaf isu logo kasut mirip kalimah Allah

Vern’s mohon maaf isu logo kasut mirip kalimah Allah

Logo itu diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali bersambung dengan kasut tumit tinggi, kata pihak pengurusan.

Tular hari ini di platform media sosial logo di tapak kasut keluaran Vern’s menyerupai kalimah Allah. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung isu lakaran logo di tapak kasut keluarannya dikatakan menyerupai kalimah Allah yang tular hari ini.

Menurut pihak pengurusan syarikat, logo tersebut diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

“Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

“Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti menjual (kasut tersebut) dan bersedia memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pihak pengurusan syarikat itu berkata, mereka tidak pernah sama sekali berniat menghasilkan reka bentuk logo untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama mahupun kepercayaan.

“Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami menghalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang sebelum ini menggesa rangkaian kedai serbaneka KK Mart diboikot berhubung isu stoking tertera kalimah Allah, mengucapkan terima kasih kepada Vern’s atas penjelasan dan permohonan maaf yang “memberikan kelegaan kepada semua umat Islam”.

Isu tersebut tular selepas seorang lelaki mendakwa di media sosial bahawa sepasang kasut keluaran Vern’s yang dibeli buat isterinya mempunyai logo seakan-akan kalimah Allah di tapaknya.

Perkara tersebut turut menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah diarahkan memanggil pihak berkaitan esok bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.