
Naim berkata demikian mengulas anggapan MCCBCHST baru-baru ini bahawa pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali Akta 355 sebagai tidak menurut Perlembagaan.
Beliau berkata, sepatutnya semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor pada 29 Dis 2023 agar rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam, menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Islam di negara ini.
“Justeru, semua pihak dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan mahupun mencetuskan kegusaran kepada orang awam.
“Akhirnya, saya menegaskan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah dan juga undang-undang Syariah di negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Na’im menjelaskan, cadangan pindaan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan Badan Perundangan Negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, apa jua cadangan pindaan dibuat kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telahpun diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.
“Oleh itu, semua pihak digesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat ‘speculative’ dan ‘pre-emptive’ berhubung dengan cadangan pindaan…tatkala ia masih belum dibentangkan di Parlimen.
“Setelah ia dibentangkan, semua Ahli Parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini,” katanya.