
Na’im berkata, firma guaman mewakilinya sudah mengeluarkan notis tuntutan kepada seorang individu berhubung kandungan dimuat naik di Facebook yang disifatkan palsu, berniat jahat, dan mencemarkan reputasinya sebagai anggota pentadbiran kerajaan serta jawatan menteri agama disandang.
“Sehubungan itu, tindakan undang-undang yang diambil adalah bagi mempertahan kebenaran, melindungi reputasi serta menghentikan penyebaran fitnah yang boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan keyakinan terhadap institusi agama negara,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi video itu, individu tersebut mendakwa menteri-menteri adalah dalang berlaku maksiat dan budaya songsang. Ia turut memaparkan petikan berita berkaitan Na’im berhubung operasi spa songsang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Na’im menegaskan semua dakwaan dibuat ‘palsu dan tidak berlandaskan fakta’, selain mengingatkan penyebaran fitnah merupakan kesalahan undang-undang dan bertentangan tuntutan Islam.
Beliau berkata, tindakan undang-undang diambil bukan bersifat peribadi, sebaliknya bertujuan memastikan platform digital tidak dijadikan medan untuk memanipulasi persepsi atau menyebarkan kebencian.
“Saya menghormati proses undang-undang. Tindakan seterusnya akan diserahkan sepenuhnya kepada pihak guaman mengikut lunas peruntukan undang-undang sedia ada.
“Fokus utama saya kekal kepada tugas amanah sebagai seorang menteri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada agenda Malaysia Madani, pengukuhan syiar Islam, pemerkasaan institusi agama serta kebajikan ummah di seluruh negara,” katanya.