
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pemimpin politik hendaklah memikirkan pendekatan terbaik menyatupadukan rakyat seperti menggunakan platform media sosial bagi bentuk rasa hormat dan persefahaman demi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.
“Beta sentiasa mendoakan agar orang Melayu Islam di negeri beta ini dijauhi daripada sifat dan sikap yang tidak baik serta dilarang oleh Islam seperti menipu, mengadu domba, memfitnah, dan juga mencaci.
“Beta tidak mahu sikap-sikap buruk ini terus berleluasa khususnya di media sosial,” titah baginda menurut Bernama pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Damansara Perdana dekat Shah Alam.
Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kebimbangan dengan sikap buruk dan dilarang agama itu yang menurut baginda telah mula menular dalam kalangan segelintir golongan terpelajar.
Titah baginda mereka ini didapati menggunakan agama, kedudukan, dan populariti meraih sokongan masyarakat serta sanggup melihat umat Islam berpecah belah.
“Beta dapati akhir-akhir ini ramai yang mengaku diri mereka sebagai agamawan atau ilmuwan dan telah cuba mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah mengenai isu agama, namun sebaliknya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi bak kata pepatah Melayu ‘ada udang di sebalik batu’ dalam setiap tindakan yang dibuat.
“Oleh yang demikian, beta suka menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu,” titah baginda.