Tiada keperluan pihak swasta kendali program Sijil Vokasional, kata KPM

Tiada keperluan pihak swasta kendali program Sijil Vokasional, kata KPM

Kementerian Pendidikan mempunyai perancangan komprehensif peluasan program TVET, tetapi sentiasa terbuka untuk sebarang kerjasama dengan pihak swasta.

Kementerian Pendidikan komited menyediakan akses TVET yang berkualiti kepada semua pelajar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tiada keperluan untuk pihak swasta mengendalikan program Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi menampung keperluan buat masa ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Ini kerana, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai perancangan komprehensif peluasan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), tetapi sentiasa terbuka untuk sebarang kerjasama dengan pihak swasta dalam memperkasakan laluan TVET KPM.

Menerusi perancangan itu, Wong berkata, KPM yakin program TVET di bawah institusi TVET KPM akan memberi peluang kepada pelajar menceburi program berkualiti, selain menampung permintaan kepada program TVET yang dijangka meningkat.

“KPM komited menyediakan akses TVET yang berkualiti kepada semua pelajar dan pelbagai akses pendidikan TVET disediakan KPM sebagai pilihan kepada pelajar berdasarkan minat dan kecenderungan mereka.

“KPM menyediakan pelbagai program TVET kepada pelajar lepasan tingkatan tiga yang cenderung kepada kemahiran di kolej vokasional (KV), sekolah menengah teknik (SMT) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan R Nelson sama ada KPM bercadang membenarkan pihak swasta mengendalikan SVM bagi menampung permintaan yang dijangka meningkat susulan galakan terhadap pengajian TVET.

Selain program SVM yang ditawarkan di KV, Wong berkata, KPM turut menawarkan program TVET seperti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) di SMK serta Mata Pelajaran Elektif Teknikal (MPET) di SMT.

“Sehingga kini, sembilan SMT menawarkan MPET, 347 SMK menyediakan PVMA, 491 SMK mempunyai MPV dan 13 SMK menawarkan PIMA di seluruh negara.

“Selain itu, pelaksanaan program Sistem Latihan Dual Nasional bersama industri dan KV juga dilaksanakan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dalam industri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.