SPL dimansuh tahun depan demi kurang beban guru, kata Fadhlina

SPL dimansuh tahun depan demi kurang beban guru, kata Fadhlina

Menteri pendidikan berkata SPL antara perkara sering dibincangkan warga pendidik kerana dianggap boleh mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki dalam bilik darjah.

cikgu
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berharap pemansuhan Sistem Pengurusan Latihan dapat mengembalikan fokus guru kepada murid serta proses pengajaran dan pembelajaran sebenar.
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan Sistem Pengurusan Latihan (SPL) di bawah kementeriannya akan dimansuhkan tahun depan untuk mengurangkan beban guru.

Menurutnya, SPL antara perkara yang sering dibincangkan warga pendidik kerana dianggap boleh mengganggu fokus mereka terhadap tugas hakiki dalam bilik darjah.

Justeru, beliau berharap pemansuhan SPL dapat mengembalikan fokus guru kepada murid serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebenar.

“Hasrat kita adalah untuk mengembalikan tugas hakiki guru kepada soal pedagogi dan memastikan reformasi dalam bilik darjah berlangsung dengan bersungguh-sungguh.

“Sehubungan itu, pada tahun depan, Kementerian Pendidikan (KPM) mahu guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dalam kelas, khususnya pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan sedang dirangka.

“In teachers we trust adalah harapan besar kementerian,” katanya menurut Sinar Harian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam.

Beliau turut memaklumkan KPM memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti PdP, persediaan rapi guru bagi pelaksanaan kurikulum 2026 dan persiapan ke arah 2027.

SPL KPM adalah portal sehenti untuk guru dan pegawai mengurus latihan, merekod Continuing Professional Development (CPD), mendapatkan sijil digital dan mengakses platform pembelajaran seperti SiPP (Sistem Pengurusan Pembelajaran).

Ia dilancarkan awal 2024 untuk meningkatkan profesionalisme guru dan merekod mata kredit latihan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.