
Di Kelantan, Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud mengumumkan pemberian RM500 kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Bantuan itu akan diberikan sebelum Selasa depan, melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan RM5.3 juta.
“Selain itu bayaran penghargaan ini akan turut diterima pegawai lantikan politik termasuk ahli majlis, penghulu, penyelaras pembangunan armalah, guru pondok, guru Al-Quran dan guru jahitan sebanyak RM250,” katanya pada sidang media.
Di Kedah, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media mengumumkan pemberian RM500 kepada 5,221 penjawat awam yang akan dibayar pada Isnin, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.61 juta.
Selain itu 2,335 pengerusi dan setiausaha majlis ketua kampung (MKK) pula akan menerima bantuan Aidilfitri sebanyak RM200 yang akan dibayar pada hari yang sama.
Bantuan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM467,000.
Sementara itu, Sanusi berkata majlis rumah terbuka akan diadakan di kediaman rasmi menteri besar Kedah pada 18 April.
Di Perlis, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus raya RM500 kepada penjawat awam negeri Gred 56 dan ke bawah, di samping RM250 untuk pesara kerajaan negeri, dengan pembayaran akan dibuat sebelum sambutan Aidilfitri.
Pemberian turut dipanjangkan kepada kakitangan lantikan kontrak, yang keseluruhannya melibatkan peruntukan kewangan RM650,000.
“Mudah-mudahan dengan anugerah bonus ini akan meningkatkan lagi prestasi ekonomi peniaga yang berniaga di bazar Ramadan, (peniaga) kuih raya dan sebagainya,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata lebih 6,000 penjawat awam menerima bantuan khas Aidilfitri RM500 yang akan dibayar pada Jumaat ini.
Bantuan tersebut bagi meringankan bebanan penjawat awam negeri termasuk staf badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan dalam membuat persiapan perayaan itu nanti.