AS sedia kerjasama Malaysia dalam tenaga boleh baharu

AS sedia kerjasama Malaysia dalam tenaga boleh baharu

Duta Besar Edgard D Kagan menekankan manfaat bersama dan keperluan segera beralih kepada sumber tenaga bersih.

Bawah Perjanjian Paris 2015 Malaysia bertanggungjawab mengurangkan keamatan karbonnya sebanyak 45% daripada paras 2005 menjelang 2030. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Amerika Syarikat bersedia bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha beralih daripada tenaga arang batu ke arah tenaga boleh dibaharui, kata Duta Besarnya, Edgard D Kagan.

Bercakap pada sesi meja bulat dengan media hari ini, beliau memetik pengumuman kerajaan yang “bercita-cita tinggi tetapi boleh dicapai” sebagai asas mempunyai prospek cerah.

“Bagi saya, (pengumuman itu) mewujudkan rangka kerja yang tepat untuk menghantar isyarat, dan satu perkara yang kita dengar bukan sahaja daripada syarikat AS, tetapi juga syarikat multinasional lain, adalah mereka melihat ke arah tenaga boleh dibaharui apabila membuat keputusan berhubung pelaburan.

“Mereka sedar hakikat bahawa mereka semakin dinilai berdasarkan keupayaan untuk menyah karbon rantaian pengeluaran dan bekalan mereka,” katanya kepada pemberita.

Pada April tahun lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Malaysia sedang berbincang dengan negara yang lebih kaya dengan hasrat dapat mengikut jejak negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam dalam mencapai perjanjian untuk beralih kepada lebih banyak tenaga boleh dibaharui.

Malaysia, yang bergantung kepada arang batu dan gas asli untuk 75% keperluan tenaganya, mengekori jiran Asia Tenggaranya dalam pengembangan tenaga bersih.

Empat bulan kemudian, pada tahun sama, kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dengan “dana benih” sebanyak RM2 bilion diperuntukkan sebagai kemudahan peralihan tenaga.

Malaysia, yang menandatangani Perjanjian Paris 2015, juga bertanggungjawab untuk mengurangkan keamatan karbonnya sebanyak 45% daripada paras 2005 menjelang 2030.

Kagan berkata, usaha mengembangkan inisiatif tenaga bersih akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan sejajar dengan usaha global untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Secara keseluruhannya, saya rasa wujud minat terhadap Malaysia kerana hakikatnya Malaysia merupakan salah satu negara yang benar-benar terjejas oleh perubahan iklim,” katanya.

“Perkara yang menyedihkan ialah krisis iklim menjejaskan hampir setiap negara, (malah) sesetengah negara lebih terjejas dalam jangka pendek.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.