8.4 juta terima STR Fasa 2 Rabu ini

8.4 juta terima STR Fasa 2 Rabu ini

Bayaran dibuat secara pengkreditan ke akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional.

Kementerian Kewangan berkata Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 melibatkan seramai 8.4 juta penerima dengan bayaran berjumlah RM1.5 bilion.
PETALING JAYA:
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650 akan disalurkan mulai Rabu ini.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan berkata, pemberian itu melibatkan seramai 8.4 juta penerima dengan bayaran berjumlah RM1.5 bilion.

Katanya, penerima sedia ada dan penerima baharu berdaftar akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Kementerian Kewangan berkata, peruntukan STR Fasa 2 kali ini meningkat sebanyak 20% berbanding RM1.26 bilion pada tahun lepas.

“Seperti yang diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ia bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah menangani peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Tambahnya, mulai 2024 kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat menerima bantuan.

“Bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.